Dewan Pemuda PAS mengingatkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya tidak menjadi "pak turut" kepada Barisan Nasional (BN) dengan merangka undang-undang yang menguntungkan parti pemerintah serta menafikan proses demokrasi di Malaysia.

Ketuanya, Mahfuz Omar berkata Pemuda PAS memandang serius kenyataan SPR meminta kuasa membatalkan kelayakan sesebuah parti politik daripada bertanding dan melarang penceramah menjadi calon atau mengundi selama lima tahun jika melanggar etika kempen.

"Pemuda PAS melihat cadangan SPR ini sebagai terikut-ikut dengan Umno dan BN yang cuba membangkitkan isu etika setelah gagal menarik sokongan rakyat dalam pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit, baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz juga melahirkan kekecewaannya mengenai cadangan lain SPR yang menurutnya, jelas berunsur anti-demokrasi seperti menaikkan deposit pilihanraya, mengenakan deposit poster, menghapuskan pondok panas, yang dikatakan menguntungkan BN.

"Pemuda PAS menentang keras cadangan SPR untuk menghalang parti politik bertanding dalam pilihanraya semata-mata kerana terdapat ahli parti tersebut terlibat melanggar etika pilihanraya.

"Ini adalah kerana tindakan individu tidak boleh dibebankan kepada parti, apatah lagi dalam keadaan sekarang ini yang memungkinkan berlakunya sabotaj," hujah Mahfuz lagi.

Sikap celupar

Selain itu, katanya, jika seseorang dianggap "celupar" atau melakukan kesalahan, maka telah ada pelbagai undang-undang untuk mendakwa mereka dan bukannya menyekat individu itu dari menjadi calon atau mengundi.

Beliau juga mempersoalkan bagaimanakah SPR akan mentakrifkan sesuata perkataan sebagai celupar dengan mengambil perkataan "haprak" sebagai contoh.

"Apakah apabila [Perdana Menteri] Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyebut perkataan "Melayu haprak" ianya tidak celupar, tetapi apabila Mohamad Sabu menyebut "haprak" maka ianya dianggap celupar?

"Apakah SPR akan menyenaraikan semua perkataan yang dianggap celupar untuk dilampirkan kepada semua calon atau SPR akan melantik jawatankuasa khas untuk mengukur keceluparan seseorang?" soal Mahfuz lagi.

Tambahnya, Pemuda PAS turut mempersoalkan mengapa isu keganasan ini ditimbulkan sekarang selepas BN tewas, dan bukannya selepas pilihanraya kecil Indera Kayangan, apabila petugas Keadilan dicederakan oleh penyokong BN.

Mahfuz mendakwa penyokong BN juga melakukan keganasan sewaktu pilihanraya kecil Pantai Merdeka (1991) dan di Padang Terap (1985), di mana petugas PAS, Othman Talib telah mati dibunuh.

Aduan polis

"Apakah SPR melupakan kumpulan Gagak Hitam (1990) dan Pemuda Tahan Lasak (1969) yang melakukan pelbagai keganasan bagi pihak Umno?" soal Mahfuz.

Beliau turut mendakwa bahawa SPR turut tidak mengambil berat aduan polis oleh seorang petugas Keadilan di Anak Bukit minggu lalu, yang mendakwa dicekik oleh calon BN, Datuk Zakaria Said, pada hari mengundi.

Oleh itu, katanya, Pemuda PAS melihat cara SPR bekerja sekarang bukan lagi sebagai sebuah suruhanjaya bebas tetapi mengikut telunjuk BN.

"SPR tidak perlu berlagak seperti komponen BN kerana jika sekali rakyat hilang keyakinan, SPR akan terus dipandang serong seperti mana jabatan polis, peguam negara, kehakiman, Badan Pencegah Rasuah dan sebagainya," kata Mahfuz.

Bagaimanapun, tambahnya, Pemuda PAS tidak berhasrat bermusuh dengan SPR, tetapi mahukan suruhanjaya itu menjadi badan yang bebas.