Persatuan Bahasa Cina Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) tidak akan menghadiri pertemuan dengan ahli Majlis kolej Datuk Dr Fong Chan Onn esok, untuk membincangkan isu berhubung arahan KTAR melarang persatuan itu menganjurkan sebarang aktiviti sejak Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, difahamkan sekumpulan pelajar lain yang menamakan diri mereka sebagai 'Barisan Bersatu" yang dianggotai semua wakil pelajar dan sebahagian pengerusi persatuan-persatuan di KTAR akan menghadiri pertemuan itu.

Sebelum ini, Fong yang juga menteri Sumber Manusia, telah memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil pelajar dari kolej tersebut esok di pejabatnya di Putrajaya untuk membincangkan masalah yang mereka hadapi.

"Kami berpendapat masalah yang timbul adalah berpunca daripada sikap birokrasi pihak pengurusan kolej, yang tidak perlu campur tangan pihak MCA," kata pengerusi Persatuan Bahasa Cina, Teo Shee Juan.

Tidak diiktiraf

"Lagipun, Dr Fong telahpun memberitahu media sebelum ini bahawa pihak MCA tidak akan campur tangan kerana berpendapat pihak kolej dapat menyelesaikannya sendiri," katanya.

Malaysiakini melaporkan pada 15 Julai lalu bahawa Persatuan Bahasa Cina di kolej itu telah dilarang menganjur sebarang aktiviti sejak mesyuarat agungnya tahun lalu. Pengerusi dan ahli jawatankuasanya juga tidak diiktiraf oleh pihak kolej.

Larangan itu mengakibatkan persatuan itu tidak dapat berfungsi satu keadaan itu disifatkan oleh para pelajar sebagai satu "penggantungan" terhadap persatuan berkenaan. Berikutan itu, persatuan itu kini tidak mempunyai sebarang ahli.

Hari ini, kira-kira 30 wakil pelajar dari persatuan tersebut telah menghantar satu memorandum yang mengandungi empat tuntutan kepada pengetua KTAR, Dr Ng Lay Swee.

Memorandum itu ditandatangani oleh 2,600 pelajar kolej tersebut berikutan kempen selama seminggu yang dilancarkan minggu lalu.

Empat tuntutan

Memorandum itu diterima oleh setiausaha pendaftar KTAR, Seow Kwai Kan bagi pihak Dr Ng.

Empat tuntutan yang terkandung dalam memorandum berkenaan ialah:

Pihak kolej mesti mengiktiraf ahli jawatankuasa Persatuan Bahasa Cina yang dipilih secara sah dan mengikut prosedur sewaktu mesyuarat agungnya pada bulan Ogos 2001.

Menarik balik larangan terhadap Persatuan Bahasa Cina untuk mendaftar ahli baru sewaktu minggu orientasi. Oleh kerana minggu orientasi telah berlalu, persatuan meminta pihak kolej membenarkan mereka mendaftar ahli baru sekarang.

Pihak kolej diminta mengkaji semula sistem permohonan untuk mendapatkan kebenaran menjalankan aktiviti. Buat masa ini kelulusan diberi oleh jabatan pengarah hal-ehwal pelajar (SAD). Oleh itu, mereka menyarankan supaya ditubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengendalikan perkara itu.

Meminta pihak kolej menurunkan kadar sewa dewan, bilik syarahan dan tempat-tempat lain dalam kawasan kolej, kerana kadar sekarang terlalu tinggi bagi para pelajar menjalankan aktiviti mereka.

Dihalang pegawai keselamatan

Menurut Teo, sebelum ini, delegasi mereka disekat oleh pengawai keselamatan untuk masuk ke pejabat pentadbiran.

"Setelah berunding dengan ketua pengawai keselamatan, barulah kami dibenarkan masuk untuk menghantarkan memorandum ini kepada pihak pengurusan kolej," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kad pengenalan pelajar salah seorang anggota delegasi itu telah dirampas oleh pegawai keselamatan manakala beberapa wartawan telah dihalau keluar dari kawasan kampus.

Apabila ditanya mengenai tindakan seterusnya, Teo berkata, persatuan tersebut berharap dapat menghadiri sesi dialog terbuka dengan pengetua kolej bagi menangani masalah itu dalam tempoh dua minggu lagi.

"Sekarang terserah kepada pihak kolej untuk mencari cara penyelesaian kepada masalah ini. Ia bergantung kepada keikhlasan pihak kolej terhadap pelajarnya dan pihak masyarakat menyokong kami dalam menyelesaikan isu ini," katanya.