Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyangkal dakwaan yang jabatan tersebut telah membuat bayaran kepada kontraktor bagi kerja mengurus pokok teduhan dan lanskap di MBPJ, yang didakwa tidak dilaksanakan.

Sebaliknya, pengarahnya, Zuraidah Sainan berkata, jabatan itu mengamalkan cara kerja yang telus bagi memastikan MBPJ membuat bayaran setimpal kepada kesemua lapan kontraktor yang menguruskan pokok teduhan dan lanskap di setiap zon dalam daerah tersebut.

NONE "Ini satu tohmahan semata-mata. Kalau tidak, pasti akan disertakan dengan bukti-bukti bahawa kita buat bayaran tidak mengikut kerja," katanya ketika dihubungi Malaysiakini minggu lalu.

Zuraidah diminta mengulas surat bertarikh 14 Januari 2009 yang dialamatkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, yang mendakwa kontraktor berkenaan mengaut bayaran daripada MBPJ atas "kerja-kerja yang tidak wujud."

Helaian tunggal itu menyenaraikan tujuh kontraktor lanskap untuk MBPJ, masing-masing menerima kontrak bernilai antara RM200,000 hingga setengah juta ringgit.

Kontrak berkenaan adalah bagi kerja-kerja menyelenggara pokok teduhan dan juga kerja-kerja berkaitan lanskap, masing-masing untuk enam kawasan DUN dan juga sebuah taman di Seksyen 22 dalam daerah berkenaan.

NONE Juga dinyatakan ialah bilangan penender yang membida untuk setiap projek disenaraikan, dan juga tempoh selama dua tahun bagi menyiapkan kerja-kerja berkenaan.

Jadual kerja

Turut dikepilkan dalam dokumen berkenaan ialah satu salinan kontrak di antara Majlis Perbandaran Petaling Jaya (kini dikenali Majlis Bandaraya Petaling Jaya) dan Alam Flora Sdn Bhd.

Kontrak tersebut antara lainnya menyebut, MPPJ berhak untuk memeriksa semua aktiviti yang dijalankan oleh konsortium berkenaan (Alam Flora) bagi memastikan keperluan perjanjian itu dipenuhi.

Ia juga menyatakan, konsortium itu akan menyerahkan jadual kerja dalam tempoh tujuh hari sebelum akhir setiap bulan bagi kerja-kerja yang akan dijalankan bagi setiap bulan seterusnya.

Khamis lalu, pejabat Menteri Besar Selangor telah mengesahkan menerima dokumen tersebut yang dihantar oleh seorang individu melalui faks pada hari yang sama.

NONE Zuraidah bagaimanapun menjelaskan bahawa kandungan dokumen tersebut adalah tohmahan semata-mata kerana ia tidak mengemukakan apa-apa bukti penyelewengan di pihak MBPJ.

"Kesemua dokumen kita boleh disemak, kita tidak ada apa yang hendak disorokkan," katanya yang menjelaskan rekod berkenaan termasuk dokumen kontrak, laporan kerja oleh kontraktor dan juga laporan bayaran kepada setiap kontraktor.

Tambahnya, bayaran itu dibuat mengikut peruntukan yang diluluskan bagi setiap kontraktor - antara RM200,000 hingga RM250,000 bagi tempoh dua tahun.

Ikut jumlah pokok

"Tapi ada (peruntukan) yang habis dibayar (kepada kontraktor) dalam masa setahun saja kerana ia dibayar mengikut jumlah batang pokok yang dijaga.

"Bayaran itu pula dibuat mengikut kerja yang dijalankan, sama ada perlu ditebang atau perlu ditanam semula, dan kami ada semua dokumen tentang kerja-kerja ini. Tidak ada kontraktor yang boleh buat tuntutan bayaran sesuka hati.

NONE "Jadi sila buktikan kalau ada salah di pihak saya," katanya lagi yang menambah tohmahan itu mungkin sengaja ditimbulkan oleh pihak yang "bermusuh" dengannya.

"Saya ini banyak musuh. Tohmahan ini mungkin daripada kontraktor, mungkin daripada staf saya sendiri atau pihak lain," katanya lagi dan menambah beliau sendiri menerima banyak dakwaan seperti itu.

Bagaimanapun, tinjauan Malaysiakini ke beberapa kawasan yang disebut dalam dokumen itu, minggu lalu mendapati kontraktor terbabit menjalankan kerja-kerja terbabit, walau terdapat juga beberapa kawasan yang tidak diselenggara dengan baik.

Kunjungan ke Taman Aman di Seksyen 14 mendapati beberapa pekerja syarikat kontraktor terbabit sedang melakukan kerja memotong rumput dan menyapu sampah di taman berkenaan.

Seorang penduduk di kawasan perumahan berdekatan, J Sanjay berkata beliau sering melihat pekerja berkenaan melakukan kerja penyelenggaraan di taman berkenaan.

Pokok tumbang

"Dalam seminggu, saya akan datang berehat di sini sebanyak dua atau tiga kali. Tiap-tiap kali saya datang, mesti ada pekerja yang buat kerja," katanya ketika ditemui di taman berkenaan.

NONE "Tapi dulu saya nampak ada kira-kira sepuluh orang yang buat kerja, tapi sekarang ada empat lima orang saja," katanya.

Tinjauan di sekitar kawasan PJU 4 dan PJU 5 dalam kawasan DUN Kota Damansara pula mendapati banyak pokok teduhan yang tidak diselenggarakan dengan baik malah terdapat juga pokok-pokok yang tumbang (foto).

Pohon-pohon renek yang ditanam sebagai lanskap, termasuk rumput dan siar kaki di kawasan itu juga didapati terjejas, seperti juga di sekitar jalan PJU 8 ke perumahan Flora Damansara.

Seorang penjaja di kawasan itu berkata kontraktor yang bertanggungjawab untuk menyelenggara lanskap di kawasan itu tidak mengambil berat terhadap pokok-pokok teduhan di kawasan berkenaan.

"Dalam (tempoh) hampir sebulan saya berniaga di sini, saya cuma nampak sekali saja (kontraktor) bekerja. Itupun, mereka (kontraktor) cuma datang potong rumput saja. Pokok-pokok ini banyak yang dia tidak peduli.

"(Keadaan) jalan lagi teruk, baru seminggu dibaiki (turap semula), sekarang sudah berlubang semula," katanya yang juga tinggal di perumahan tersebut.

Bersih semak samun

Tambahnya, jalan yang sunyi ke kawasan perumahan yang terletak sejauh kira-kira empat kilometer dari kawasan komersil Damansara Perdana itu, perlu dibersihkan daripada semak samun.

NONE "Pokok di jalan ini sudah rimbun, jadi pada waktu malam akan jadi lebih gelap," tambahnya.

"Jadi, di tepi-tepi jalan ini sepatutnya lapang, supaya orang tidak takut untuk jalan kaki pada waktu malam sebab (Flora Damansara) ini, agak terasing sikit," katanya lagi.

Menjelaskan situasi tersebut, Zuraidah berkata keadaan itu berlaku kerana kawasan tersebut masih belum diserahkan kepada MBPJ untuk diselenggarakan.

"Sebelum kawasan tersebut siap sepenuhnya, pemaju yang perlu buat penyelenggaraan sehinggalah ia diserahkan kepada kontraktor MBPJ.

"Tetapi jika ada aduan daripada orang awam, lebih-lebih lagi mengenai pokok tumbang, kami akan segera bertindak balas. MBPJ memang terkenal sebagai majlis bandaraya yang paling cepat bertindak jika ada pokok tumbang," katanya lagi.