Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya menyiasat segera kemungkinan pemilikan kad pintar pelbagai, Mykad, di kalangan rakyat asing turut membabitkan'orang dalam'.
Katanya, ini kerana Ketua Pengarah JPN, Datuk Azizan Ayub pernah menyatakan bahawa Mykad tidak mungkin dapat dipalsukan kerana semua data peribadi pemiliknya tersimpan dalam rekod asal JPN.
"Kad yang dikeluarkan adalah berasaskan nama yang terdapat dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara," katanya walaupun beliau tidak menafikan kad palsu itu boleh dibuat oleh sesiapa sahaja.
Beliau diminta mengulas kejadian warga asing yang diperiksa pegawai penguatkuasa dilaporkan telah menunjukkan Mykad sebagai bukti mereka warganegara Malaysia seperti yang ditemui polis semasa menjalankan Ops Nyah II di beberapa tempat di Sabah.
Menurut agensi berita nasional, Bernama , Abdullah mahu tindakan tegas diambil terhadap sesiapa yang bertanggungjawab, termasuk kakitangan JPN sendiri jika terbukti terbabit mengeluarkan Mykad kepada warga asing.
Kad palsu
"Jabatan Pendaftaran Negara perlu siasat dengan cepat supaya ianya tidak merebak. Kalau ia berlaku dalam jabatan sendiri, maka tindakan terhadap kakitangan berkenaan mesti diambil dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja," katanya.
Bercakap dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari dan Minggu Pengguna Malaysia 2002 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Kuala Lumpur, Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tindakan itu juga bertujuan bagi mengelakkan intergriti kad berkenaan dipersoalkan orang ramai.
Katanya siasatan perlu mengenal pasti sama ada sindiket pengeluaran kad itu membabitkan pihak dalaman.
Abdullah berkata kesahihan Mykad yang mengandungi pelbagai maklumat itu boleh diketahui menerusi "mesin pembaca" yang disediakan oleh pihak berkuasa sahaja dan kad berkenaan mungkin palsu sekiranya tidak boleh dibaca oleh alat terbabit.
Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata pengeluaran Mykad akan diteruskan walaupun siasatan akan dijalankan terhadap kejadian di Sabah itu.
Gugur kandungan
Abdullah turut ditanya mengenai cadangan Kementerian Kesihatan untuk meminda undang-undang dalam Kanun Keseksaan bagi membenarkan pengguguran kandungan akibat sumbang mahram dan rogol.
"Kalau kita perlu adakan undang-undang, maka segala komplikasi perlu diatasi, kalau tidak, tidak boleh jadi undang-undang," katanya.
Beliau berkata pengguguran janin bukan sahaja menjadi kesalahan bagi agama Islam tetapi turut dilarang oleh agama lain.
Semalam, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan S. Sothinathan berkata cadangan pindaan itu bukan bermakna kerajaan mahu menghalalkan pengguguran tetapi hanya dalam keadaan tertentu, dan ia masih di peringkat perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk badan-badan agama.
Cadangan pindaan itu berikutan masalah sosial seperti kehamilan terutama di kalangan remaja akibat perbuatan sumbang mahram yang semakin berleluasa.
