Ahli PAS yang dikehendaki polis berhubung aduan kes menunjukkan kemaluannya kepada ahli Puteri Umno sewaktu kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit lalu, kini dipercayai berada di sebuah negara jiran.

Sumber yang rapat dengannya, memberitahu malaysiakini bahawa lelaki yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan itu, tidak dapat dihubungi sejak beberapa hari lalu selepas polis mendapat waran tangkap terhadapnya.

"Saya percaya beliau mungkin berada di Selatan Thailand kerana rumahnya memang dekat dengan Sungai Golok (yang memisahkan Malaysia dan Thailand)," kata sumber dari Kedah itu.

"Sama ada beliau bersembunyi atau apa tujuannya, itu tak dapat saya pastikan," jelas sumber itu lagi.

Bagaimanapun, katanya, lelaki yang dikatakan pernah bertanding dalam pilihanraya umum lalu menentang seorang pemimpin terkenal dari Umno di Kelantan, telah menafikan sekeras-kerasnya yang beliau melakukan perkara tidak bermoral itu.

Memakai seluar

"Saya sendiri meminta penjelasannya adakah benar beliau menunjukkan kemaluannya kepada ahli Puteri Umno seperti yang didakwa. Jawabnya, takkan beliau tergamak melakukan perkara jijik itu kerana menganggap Puteri Umno sebaya usia anaknya," kata sumber tersebut.

Malahan, jelas sumber tersebut, tertuduh mendakwa bahawa beliau sebenarnya memakai "seluar, kasut dan stokin, dan bukannya kain" pada Julai 11, jam 6.25 petang, seperti yang tercatat dalam laporan Puteri Umno kepada polis.

Peristiwa tersebut dikatakan berlaku di rumah bernombor 102, Pantai Johor, Anak Bukit, Kedah..

"Beliau juga memberitahu saya yang dia tidak terfikir langsung untuk membuat perkara seperti itu, apatah lagi apabila terdapat ramai petugas PAS bersamanya kerana ketika itu beliau sedang bersiap sedia untuk memberi ceramah.

"Lagipun, dia memberitahu saya bahawa beliau memakai seluar, oleh itu mana ada kain untuk diselak," katanya lagi.

Niat memfitnah

Sumber itu menambah ada kemungkinan laporan yang dibuat oleh ahli Puteri Umno itu tidak benar dan berniat untuk memfitnah parti pembangkang.

Sumber itu menjelaskan, ekoran laporan polis itu, lelaki tersebut telah pun menemui polis di Alor Setar dan membuat penjelasan kepada polis, tetapi tiada tindakan diambil terhadapnya ketika itu kerana tiada bukti.

"Tiba-tiba perkara ini timbul semula kerana kenyataan Perdana Menteri yang mengaitkan PAS dengan pelbagai keganasan semasa pilihanraya kecil di Pendang dan Anak Bukit lalu," katanya lagi.

Sementara itu, usaha malaysiakini untuk mendapatkan penjelasan dari lelaki itu sendiri gagal kerana telefon bimbitnya tiada lagi dalam perkhidmatan.

Rabu lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Kedah, Asisten Komisioner Abdul Jalal Mohd Yunus berkata lelaki itu akan didakwa melakukan kesalahan menunujukkan isyarat mengaibkan dengan maksud menjatuhkan kehormatan, mengikut Seksyen 509, Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara maksima lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.