Lelaki yang dituduh menyelak kain kepada ahli Puteri Umno semasa kempen pilihanraya kecil di Anak Bukit tidak lama dulu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar atas tuduhan menghina seorang wanita dengan menunjukkan kemaluannya.

Agensi berita nasional Bernama melaporkan bahawa Razak Abas, 52, yang bekerja sendiri dari Banggol Kulim, Rantau Panjang, Kelantan, meminta supaya dibicarakan atas tuduhan tersebut.

Beliau yang juga seorang penceramah PAS, telah dituduh menunjukkan kemaluannya dengan niat menghina kehormatan Yusnita Ramli, 27, di sebuah rumah tidak bernombor di Pondok Chegar, Anak Bukit, pada pukul 6.25 petang, Julai 11, 2002.

Majistret Redzuan Abdullah telah menetapkan Sept 28 sebagai tarikh perbicaraan dan menetapkan jaminan RM 5,000 dengan seorang penjamin.

Razak, yang diwakili peguam Jagdeep Singh Deo dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan, telah dibebaskan setelah membayar wang jamin.

Pendakwaan terhadap kes beliau dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Razak Musa.

Mengikut laporan media, Razak telah menunjukkan kemaluannya kepada petugas Puteri Umno yang bersama seorang petugas Wanita Umno semasa kedua-dua mereka sedang menjalankan tugas merayu undi.

Jumaat lalu, malaysiakini melaporkan bahawa tertuduh dipercayai berada di sebuah negara jiran selepas polis mendapat waran tangkap terhadapnya.