Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan Rabu depan bagi memutuskan sama ada mengekal atau menggugurkan tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar @ Izhar Ma'ah menangguh keputusan sama ada membenarkan rayuan Anwar itu kerana memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujahan yang dikemukakan oleh peguam Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

    

Ketua Pembangkang itu memohon mahkamah supaya membenarkan rayuannya mengubah keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengetepikan dan membatalkan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 63, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Ketua umum PKR dan ahli parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

    

Perbicaraan tersebut ditangguhkan sementara menunggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada Khamis depan sama ada beliau akan menarik diri daripada terus mendengar kes liwat itu.

    

Pada prosiding selama dua jam hari ini, Karpal mengemukakan bahawa tuduhan meliwat itu harus dibatalkan berdasarkan laporan perubatan oleh tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang menyatakan tidak ada hasil klinikal menunjukkan berlaku penetrasi atau tembusan ke dubur Saiful.

    

Katanya bukti penetrasi merupakan elemen penting untuk pihak pendakwaan membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan namum tidak ada bukti kukuh.

    

"Laporan perubatan itu merupakan bukti. Eksibit dalam afidavit juga merupakan bukti. Ianya laporan penuh. Ia merupakan kesimpulan yang dibuat oleh tiga doktor bahawa tidada penetrasi. Mahkamah ini harus membenarkan rayuan ini," katanya.

    

Dalam pada itu, Mohd Yusof berhujah permohonan Anwar itu tidak boleh dipertahankan kerana laporan perubatan tidak boleh dijadikan satu-satunya bahan untuk dijadikan pegangan.

    

"Laporan perubatan tidak lengkap sehingga doktor dan ahli kimia memberi keterangan dalam perbicaraan. Laporan perubatan bukan keterangan substantif. Ia hanya sokongan kepada doktor untuk menjelaskan di mahkamah," katanya.

- Bernama