Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Anwar: Australia diminta hormati undang-undang M'sia
Diterbitkan:  Feb 15, 2010 8:48 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Komuniti asing diminta supaya menghormati undang-undang Malaysia memandangkan negara ini sentiasa menggalakkan rasa hormat kepada sistem perundangan negara lain, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Shafie menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan rasmi oleh anggota parlimen Australia yang menggesa Malaysia menggugurkan tuduhan liwat terhadap ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mungkin di sesetengah negara, tindakan tertentu oleh seseorang itu adalah sah," kata Shafie yang juga pengerusi Persatuan Anggota-anggota Parlimen Komanwel.

"Bagaimanapun di Malaysia, ia menyalahi undang-undang dan pelakunya harus dihadapkan ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Negara lain, katanya, terutamanya anggota Komanwel, perlu berfikir dengan mendalam sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung cara sesebuah negara itu menangani tindakan yang dianggap menyalahi undang-undang negara berkenaan.

   

"Sebagai pengerusi persatuan dan juga seorang anggota parlimen, saya berasa sangat kecewa kerana Australia mencampuri perlembagaan kita. Mereka tidak patut mempolitikkan undang-undang yang seharusnya dihormati di negara ini.

"Apa yang akan terjadi, katakanlah seseorang itu melanggar undang-undang di Australia, dan kita mendesak supaya orang berkenaan dibebaskan? Sudah tentu Anggota Parlimen di Australia akan marah," katanya.

Mengenai penculikan dua pekerja ladang rumpai laut di Pulau Sebangkat, dekat Semporna pada 8 Februari, Shafie berkata tiada laporan daripada polis bahawa insiden itu mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas dari selatan Filipina.

Shafie, yang juga anggota parlimen Semporna berkata, satu-satunya perkara yang membimbangkan beliau mengenai insiden itu adalah ia kelihatan seperti satu jenaka dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang melakukannya.

"Setahu kami, penduduk di sana masih berasa selamat. Tiada sebarang tanda bahawa masyarakat menjauhkan diri disebabkan insiden itu dan ia juga tidak menghalang pelancong untuk datang.

   

"Sungguhpun begitu, saya mesti tegaskan bahawa situasi tenang sekarang tidak sepatutnya diambil mudah dan keselamatan serta pemantauan mesti ditingkatkan di semua peringkat," katanya.

- Bernama

ADS