Siasatan kes ADUN Sekinchan hampir siap
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar kepada timbalan pendakwa raya (DPP) kertas siasatan membabitkan ADUN Sekinchan yang telah melanggar seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seksyen 7, Shah Alam, 7 Februari lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kertas siasatan itu kini dalam proses terakhir untuk disiapkan sebelum dihantar kepada DPP untuk pertuduhan di mahkamah.
"Kertas siasatan sudah hampir selesai untuk diberikan kepada DPP. Ada cadangan supaya beliau dituduh dibawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa ketika memandu kenderaan.
"Kita tunggu hasil laporan dari pihak DPP untuk sebarang tuduhan kelak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bit Polis Taman Ampang Utama dekat Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.50 malam itu, ADUN Ng Suee Lim yang memandu kereta jenis Nissan X-Trail telah melanggar pelajar itu, Mohamad Bakri Mohd Bazli, 23,yang menunggang motosikal jenis Yamaha SRE.
Kemalangan di Pesiaran Kayangan/Pesiaran Institut di Seksyen 7, Shah Alam itu telah mengakibatkan penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Wilayah itu cedera parah di bahagian kepala dan terlantar di HTAR.
Beliau turut meminta saksi yang melihat kejadian itu supaya tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.
- Bernama

