Proses terakhir siasatan terhadap Guan Eng
Polis kini dalam proses terakhir untuk menyiapkan kertas siasatan membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.
Lim didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dengan mengatakan bahawa Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam Shah Alam adalah dibunuh.
"Kita masih menyiasat sebab sukar untuk mengesan saksi...kes masih berjalan...tinggal satu atau dua saksi sahaja lagi.
"Kita berada di penghujung siasatan...tinggal beberapa rakaman percakapan kemudian lanjutkan kepada pertuduhan kelak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bit Polis Taman Ampang Utama dekat Kuala Lumpur hari ini.
Disember tahun lepas, polis menerima aduan berhubung kenyataan Lim pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam yang dianggap berunsur hasutan.
Beliau berkata aduan itu sedang disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Terdahulu ketika berucap di majlis itu Khalid berkata, bit polis yang ditubuhkan itu diharap mampu merapatkan hubungan di antara polis dan masyarakat Korea di kawasan berkenaan selain memerangi dan mengurangkan jenayah.
Ini juga salah satu cara mereka (masyarakat Korea) menyahut komuniti kepolisian kita, katanya.
Bit polis itu dibina dengan kerjasama polis dan hampir 4,000 masyarakat Korea yang bekerja dan menetap di kawasan itu.
- Bernama

