Guna UiTM : PAS dakwa Umno jahil undang-undang
Tindakan Umno Pahang menggunakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menjalankan program politik kerana tidak tahu wujudnya akta yang melarangnya menunjukkan mereka “jahil undang-undang”, kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad.
Umno, kata beliau, sepatutnya lebih bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan itu kerana pemimpinnya dalam kerajaan terlibat menggubal Akta UiTM itu sebelum ini.
“Kejahilan Umno Pahang ini sangat mendukacitakan kerana mereka memperlakukan harta kerajaan seperti harta mak bapak mereka,” katanya.
Semalam Umno Pahang dilaporkan bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran penggunaan kemudahan UiTM di kampus Jengka untuk konvensyen Umno negeri yang dijadual bermula petang ini.
Setiausaha Umno negeri, Abdul Rahim Abas berkata, pihaknya bersikap telus dengan dan telah mendapat kebenaran universiti itu - yang dijadual dirasmikan oleh presidennya, Datuk Seri Najib Razak.
Abdul Rahim juga dilaporkan berkata, pihaknya tidak tahu mengenai kewujudan akta tersebut serta tidak dimaklumkan oleh UiTM berhubung perkara itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Idris juga berkata, Umno negeri sebagai penyewa diharapkan benar-benar membuat pembayaran bagi kemudahan yang digunakannnya di universiti itu.
“Sudah ada beberapa kes dilaporkan yang mana Umno menempah, menyewa dan mengunakan sesuatu kemudahan tetapi mereka tidak bayar dan kes dibawa ke mahkamah.
“Kes-kes ini tidak termasuk kes pengunaan fasiliti seperti dewan orang ramai, tabika Kemas dan padang-padang awam yang sering digunakan Umno secara percuma selama ini,” katanya.
Idris juga mendesak UiTM mendedahkan kadar sewaan yang dikenakan kepada Umno negeri itu.

