Isu matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris di semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan dibincangkan dalam seminar mengenai pendidikan anjuran MCA di ibu pejabat parti itu Sabtu ini.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Dr Ting Chew Peh berkata seminar sehari itu, mengenai pembangunan pendidikan bagi tempoh 10 tahun akan datang, akan turut menyentuh penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan.
Agensi berita nasional, Bernama melaporkan beliau sebagai berkata, perkara itu dijangka dibangkitkan menerusi kertas kerja bertajuk 'Peranan bahasa Inggeris bagi pendidikan masa depan'.
"Kita tidak tahu apa yang akan dibincangkan, sama ada mereka setuju atau tidak, atau mungkin tak sentuh langsung (isu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di SJKC)," katanya dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur hari ini,
Katanya, ini kerana seminar itu mempunyai skop yang agak luas, meliputi pendidikan peringkat prasekolah, sekolah rendah, institusi pengajian tinggi serta pendidikan teknologi maklumat dan komunikasi.
Enggan mengulas
Ting berkata, Biro Pendidikan MCA akan membuat rumusan berdasarkan kepada saranan yang dibuat pada seminar itu dan akan mengemukakannnya kepada Kementerian Pendidikan.
Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Hon Choon Kim enggan mengulas isu itu atas alasan ia tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka.
"Saya tak mahu bincang secara terbuka mengenainya. Sebenarnya kita (MCA) akan dengar apa pandangan (mengenai isu itu), selepas itu kita akan sampaikan kepada kerajaan," katanya.
Bulan lalu, tiga persatuan Cina menyuarakan bantahan mereka terhadap keputusan kerajaan mewajibkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di SJKC tahun depan.
Persatuan terbabit ialah Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina (Jio Zong), Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor.
