Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Selepas hampir sepuluh tahun, Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini mengarahkan New Straits Times Press (M) Bhd membayar bekas wartawan Berita Harian , Khairul Anuar Mokhtar RM45,000 dalam penghakiman kes saman fitnah.

Penghakiman itu dibuat dalam penyelesaian di luar mahkamah.

Selain the New Straits Times , beliau juga menamakan wartawan ketika itu, Azmi M Anshar, Sharanjit Singh dan editor t he New Sunday Times , sebagai defendan.

Tindakan itu diambil berikutan keterangan gambar yang salah di akhbar berkenaan yang menunjukkan Khairul Anuar sebagai seorang daripada pengikut Al Ma’unah sedangkan hakikatnya dia bukan.

Gambar dan keterangan gambar berkenaan dicetak pada halaman empat akhbar New Sunday Times pada 9 Julai, 2000.

Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim membuat arahan penyelesaian muktamad berkenaan hari ini.

Selain bayaran pampasan, akhbar itu juga dikehendaki menyiarkan permohonan maaf kepada Khairul Anuar dan menarik balik perkara tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat sebarang arahan mengenai kos.

Khairul Anuar, pada asalnya menuntut  RM632,000.

Dia diwakili oleh peguam Faizal Kamaruddin, manakala NST dan defendan yang lain pula diwakili oleh peguam Yau Her Lerk.

ADS