Lebih 20 pertubuhan yang dianggotai pendidik, ahli bahasa dan penulis dari kalangan kaum Melayu dan Cina telah menghantar satu rayuan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad minggu lalu minta kerajaan supaya menggugurkan cadangan menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar matapelajaran Sains dan Matematik.
Dalam kenyataan satu mukasurat melalui faksimili kepada pejabat Dr Mahathir, mereka berkata satu persetujuan telah dicapai dalam satu mesyuarat tertutup yang dihadiri wakil pertubuhan-pertubuhan terebut dii Kuala Lumpur pada 2 Julai lalu.
Antara persatuan Melayu yang turut menghadiri mesyuarat itu ialah GAPENA, PENA, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Persatuan Suluh Budiman dan Persatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Mesyuarat tersebut dikatakan telah membincangkan isu berkenaan dan mengambil keputusan bahawa kedua-dua matapelajaran tersebut adalah lebih mudah dipelajari dalam bahasa ibunda bagi semua pelajar.
"Wakil-wakil pertubuhan Melayu itu telah melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku kemerosotan terhadap Bahasa Melayu manakala wakil-wakil pertubuhan Cina pula bimbang mengenai status Bahasa Mandarin di sekolah rendah," demikian menurut satu sumber.
"Secara keseluruhannnya, semua merasakan adalah tidak wajar untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kedua-dua matapelajaran tersebut.
"Malahan, mereka merasakan bahawa cadangan tersebut adalah terlalu tergesa-gesa tanpa sebarang kajian yang secukupnya," kata sumber itu lagi.
Sasterawan negara
Turut menghadiri mesyuarat tersebut ialah Sasterawan Negara, Muhammad Salleh, yang mendapat pengiktirafan tersebut pada tahun 1991 atas kegigihannya menulis sajak dan menghasilkan kritikan sastera dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Sumber tersebut turut memberitahu bahawa Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Rahim Bakar, turut melahirkan keprihatinannya mengenai kesan dasar pendidikan, terutamanya kepada golongan Melayu di luar bandar.
DBP, sebuah badan berkanun yang mempromosikan penggunaan bahasa Melayu dan kesusasteraan sejak 1959 itu, turut melahirkan kebimbangan dengan cadangan kerajaan tersebut.
Menurut satu lagi sumber yang rapat dengan DBP, badan itu dikatakan berada dalam dilema kerana tidak mahu dilihat sebagai menentang dasar kerajaan walaupun tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
"Akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang mempunyai pengaruh yang besar di kalangan pembaca turut tidak memberikan suara kepada mereka yang membangkang dasar ini," kata sumber itu lagi.
Katanya, DBP pada masa ini masih cuba mendapatkan satu juta tandatangan dari masyarakat Melayu sebagai tanda sokongan. Pelancaran kempen sejuta tandatangan tersebut telah diumumkan oleh Abdul Rahim pada Mei 24 lalu..
Sebulat suara
Pada awal bulan ini, Dr Mahathir berkata kerajaan akan memperkenalkan semula bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah jika umum berminat dengan sistem tersebut berikutan kemerosotan mutu penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
Bagaimanapun, Majlis Tertinggi Umno selepas itu tidak bersetuju dengan cadangan itu dan sebaliknya mencadangkan cuma matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
Berikutan itu, Kementerian Pendidikan mengumumkan bulan lalu bahawa peralihan ini akan hanya diperkenalkan kepada murid sekolah rendah tahun satu dan pelajar tingkatan sat mulai tahun depan.
Bagaimanapun, keputusan belum dibuat sama ada ia akan turut diperkenalkan kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina dan Tamil).
Kedua-dua pelopor pendidikan bahasa Mandarin dan Tamil telah mempertikaikan bahawa peralihan dasar ini akan menjejaskan ciri-ciri sekolah mereka selain menjejaskan operasi pengajaran.
Malaysiakini diberitahu bahawa forum yang diadakan pada Mei 24 di DBP itu, yang melibatkan sembilan pertubuhan Melayu, sebulat suara mencapai dua resolusi berkaitan penggunaan bahasa Inggeris bagi kedua matapelajaran tersebut.
Resolusi tersebut meminta kerajaan supaya "lebih memahami kelemahan pelajar Melayu dalam bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dan meminta Kementerian Pendidikan supaya mengkaji punca sebenar masalah".
Kelas bimbingan
"Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak akan dapat menyelesaikan masalah tetapi akan membuatkan pelajar menghadapi masalah untuk mempelajari Sains dan Matematik," menurut resolusi tersebut.
Resolusi itu turut mencadangkan agar kerajaan mengadakan kelas bimbingan yang dibantu oleh tenaga sukarela untuk membolehkan pelajar Melayu meningkatkan pengusaan bahasa Inggeris di kalangan pengajar.
Satu lagi resolusi meminta jaminan supaya Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa rasmi dan mahukan institusi pengajian tinggi supaya mempromosikan bahasa tersebut untuk tujuan akademik.
Sebahagian besar organisasi yang terlibat kemudiannnya menghadiri mesyuarat dengan kumpulan Cina bulan lalu dan mengemukakan rayuan kepada Dr Mahathir.
Bagaimanapun, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kemudian menukar pendirian dan mengkritik kumpulan pendidikan Mandarian dan menganggap mereka sebagai menyukarkan keadaan.
MCA dan MIC akan turut mengadakan dua sessi yang berasingan hujung minggu ini bagi mendapatkan pandangan dari ibubapa, guru dan pengetua mengenai isu bahasa Inggeris ini.
.
