Kerajaan negeri akan jual saham pelaburan yang rugi: MB T'ganu
Kerajaan negeri Terengganu telah mengambil keputusan untuk menjual sahamnya dalam semua pelaburan yang merugikan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Apa yang kita jual bukan syarikat yang untung tetapi 'mayat-mayat'. Kerajaan negeri memang jual mayat," katanya sambil berseloroh semasa sesi soal jawab dengan wartawan di jamuan makan malam anjuran PAS di Hotel Regent di Kuala Lumpur sini malam tadi.
Abdul Hadi sebagai berkata, yang juga pemangku Presiden PAS memberi contoh royalti minyak yang berjumlah RM7 bilion yang diterima oleh kerajaan negeri selama 20 tahun sebelum PAS berkuasa, tetapi negeri yang hanya mempunyai lebih 800,000 penduduk itu adalah yang kedua termiskin di Malaysia
Agensi berita nasional, Bernama memetik Hadi sebagai berkata, ini kerana banyak hasil royalti minyak telah dilaburkan oleh kerajaan dahulu ke dalam syarikat-syarikat besar yang tidak mendatangkan untung, termasuk Perwaja Steel yang akhirnya tersadai dengan hutang beribu-ribu bilion ringgit.
"Saya dapati Perwaja walaupun tidak untung, ahli-ahli lembaganya dibayar RM3,000 setiap kali hadir mensyuarat. Juga banyak terdapat pembaziran yang lain," katanya.
"Syarikat A&W yang mengendalikan perniagaan makanan segera yang ramai orang makan, berhutang RM100 juta," katanya.
Menurutnya antara hasil baru yang diperolehi ekoran ketiadaan royalti minyak ialah daripada perhutanan, cukai tanah dan pertambahan mendadak pungutan zakat.
Pungutan zakat
"Mungkin kerana menyedari Terengganu kini menghadapi masalah kewangan, lebih ramai orang Islam yang membayar zakat. Pungutan zakat meningkat daripada RM11 juta pada tahun 1999 kepada RM21 juta pada 2000, dan kepada RM30 juta pada 2001," katanya.
Menutut Hadi, penarikan balik royalti minyak oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri pimpinan PAS di negeri itu mempunyai hikmahnya tersendiri walaupun ia merupakan satu perkara yang "sangat pahit".
Katanya, dengan terputusnya royalti yang beratus-ratus juta ringgit setahun itu tidak lama selepas PAS mengambil alih kerajaan negeri pada pilihan raya umum 1999, Terengganu kehilangan 70 peratus sumber kewangannya dan terpaksa mencari sumber-sumber pendapatan yang lain.
Beliau berkata, pembangunan Terengganu sebelum pemerintahan PAS lebih bersifat materialistik hasil limpahan royalti minyak, walaupun negeri itu merupakan antara yang termiskin dalam negara ini.
Menurutnya pendekatan kerajaan pimpinannya lebih menumpukan kepada pembangunan manusia kerana jika ini tidak dilakukan, pembangunan pada keseluruhannya tidak akan berjaya.
" Saya tidak nafikan duit itu penting, tetapi kalau terlalu materialistik tanpa pembangunan manusia, apa juga pembangunan tidak akan berjaya," katanya.

