Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
300 murid Orang Asli keracunan makanan
Diterbitkan:  Mar 2, 2010 11:06 AM
Dikemaskini: 3:08 AM

Hampir semua 300 murid anak Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, dekat Gua Musang, mengalami sakit perut, muntah dan pening dipercayai keracunan makanan selepas makan tengah hari di kantin asrama sekolah itu semalam.

Sebahagian mereka dikejarkan ke Hospital Gua Musang manakala sebahagian lagi dibawa ke Hospital Tanah Rata di Cameron Highlands.

Asrah Along, 47, berkata anaknya bergegas pulang ke rumah mengadu sakit perut dan muntah selepas makan nasi berlauk telur rebus di kantin asrama sekolah terbabit hingga keadaannya menjadi letih selepas itu.

Bimbang dengan keadaan kesihatan anaknya yang letih, beliau membawa anaknya ke sekolah untuk dimaklumkan kepada guru.

"Kami pergi ke sekolah semula bersama anak kerana keadaannya semakin teruk dan terpaksa menunggu beberapa jam untuk dihantar ke hospital. Anak kami beritahu telur rebus yang dimakan itu berbau busuk dipercayai sudah lama," katanya kepada pemberita hari ini.

    

Halang Angah, 53, pula berkata, beliau terkejut apabila anaknya pulang dalam keadaan keletihan dan pakaian sekolah terkena muntah.

Beliau berkata anaknya mengadu pening kepala sebelum merujuk perkara berkenaan kepada pihak sekolah.

"Saya yang datang ke sekolah melihat ramai murid lain dalam keadaan keletihan kerana mengalami nasib sama tetapi ketika itu belum ada kenderaan untuk menghantar anak ke hospital," katanya.

- Bernama

ADS