Para pelabur Amerika masih memilih Malaysia sebagai destinasi untuk menjalankan perniagaan mereka, kata Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Marie T Huhtala, hari ini.

Katanya, syarikat-syarikat kecil AS cenderung kepada firma gergasi Amerika yang melabur di Malaysia dan ini merupakan antara punca mengapa mereka terus membuat pelaburan di negara ini sejak 30 tahun lalu.

"Pastinya terdapat perkara yang menarik di Malaysia dan semestinya ia sebuah tempat yang baik untuk menjalankan perniagaan apabila syarikat-syarikat ini terus kekal di sini," katanya.

Agensi berita nasional Bernama memetik Huhtala sebagai berkata, maklum balas daripada para pelabur di AS menunjukkan Malaysia masih dianggap sangat kompetitif berikutan pendekatan pelaburannya yang mesra, prasarana yang lengkap, penguasaan bahasa Inggeris yang baik, kestabilan politik dan insentif yang ditawarkan, katanya.

"Sesetengah syarikat gergasi Amerika masih diberikan status perintis walaupun sudah lebih 30 tahun penglibatan mereka di negara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat mengenai program pembangunan Kedah di Wisma Darul Aman, di Kedah hari ini.

Huhtala berada dalam rangka lawatan dua hari ke Kedah mulai hari ini dalam usaha, antara lainnya, meneroka peluang pelaburan di negeri ini

Unjuran kekukuhan ekonomi Amerika Syarikat tahun depan, katanya, akan membawa kesan baik kepada ekonomi Malaysia, terutamanya dalam menarik pelaburan langsung asing.

Mengenai pelaburan AS di Kedah setakat ini, Huhtala berkata ianya berjumlah RM8.5 bilion terutama dalam sektor elektronik.

Di samping itu, katanya, pelabur Amerika boleh membuat pelaburan tambahan dalam sektor perubatan, teknologi komunikasi maklumat, bahagian-bahagian automobil dan pendidikan.

Satu pencerobohan

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata, jika Amerika Syarikat (AS) bertindak menghantar komandonya ke negara ini kononnya untuk menangkap anggota kumpulan al-Qaeda, perbuatan itu akan dianggap sebagai satu pencerobohan.

Perdana Menteri berkata Malaysia mempunyai caranya sendiri untuk menangani sebarang pencerobohan oleh mana-mana negara sekalipun.

"Kita akan anggap, kalau (mereka) datang ke negara kita, sebagai satu pencerobohan," tambah beliau.

Beliau mengulas laporan akhbar yang menyebut AS bercadang menghantar anggota komandonya ke mana-mana negara untuk menangkap atau membunuh pemimpin al-Qaeda yang disyaki berada di negara berkenaan.

Laporan yang memetik akhbar New York Times itu menyebut antara lain bahawa dalam menjayakan rancangan itu, Washington tidak perlu memberitahu negara tempat tinggal bakal mangsanya mengenai operasi berkenaan.

Kumpulan al-Qaeda dikaitkan dengan jutawan Arab Saudi, Osama bin Laden yang dituduh Washington sebagai suspek utama dalam kejadian serangan maut terhadap bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York dan Pentagon di Washington 11 Sept tahun lalu.


2 HARI LAGI !

Mulai Khamis ini, bersamaan 15 Ogos, seksyen berita dalam Malaysiakini tidak lagi diberi percuma. Jangan lepaskan peluang untuk terus mengikuti satu-satunya sumber dan penyebar berita bebas dari kami. Langgan SEKARANG! Click here .