Presiden dakwa MCA kembali raih sokongan
MCA beransur-ansur kembali mendapat sokongan bukan saja daripada kalangan kaum Cina tetapi semua rakyat di negara ini sejak parti itu mengalami pengalaman pahit pada pilihan raya umum dua tahun lepas, kata presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat.
"Tak betullah jika saya katakan bahawa pemulihan MCA sejak 8 Mac (2008) begitu menakjubkan tetapi saya yakin kita berada di landasan yang betul. Masih banyak perlu diusahakan," katanya hari ini.
Ong ( kanan, berbaju batik ) berkata MCA telah menggerakkan beberapa inisiatif bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada parti itu termasuk menubuhkan Yayasan Perikatan Masyarakat 1Malaysia (1MCA) serta memberi tumpuan ke arah meningkatkan taraf kehidupan dan menjaga kepentingan masyarakat kurang berada termasuk golongan miskin di bandar.
Katanya yayasan itu akan memberi perhatian kepada bidang-bidang penting seperti pendidikan dan pembangunan kemahiran, perlindungan masyarakat, isu dan rintihan peniaga-peniaga kecil, kesihatan dan perumahan.
"Contohnya, Pusat Perkhidmatan Bergerak 1MCA yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, akan memastikan kita benar-benar mendekati rakyat yang memerlukan bantuan dan bukannya meminta mereka datang kepada kita," kata Ong.
MCA juga telah menubuhkan majlis perundingan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai satu langkah yang berbeza daripada pendekatan secara
ad-hoc
yang hanya menumpukan kepada kepentingan tertentu saja seperti sebelum ini.
"MCA perlu mengamalkan pendekatan yang menjurus kepada perkongsian tulen dengan kumpulan masyarakat yang berdepan dengan pelbagai cabaran dan isu. Kita perlu lebih proaktif untuk menyelesaikan masalah dengan menyediakan rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang," katanya.
Ong berkata MCA telah mengadakan beberapa dialog dengan pelbagai kumpulan termasuk majlis antara agama, pekilang, persatuan mewakili pengusaha kecil dan sederhana dan persatuan peruncit.
"Kita sedar MCA tidak boleh hanya terlibat dalam politik arus perdana tetapi mesti dilihat sebagai menjuarai isu-isu tertentu," katanya.
Ong berkata beliau akan terus menyebar mesej mengenai perubahan dan akan mengumumkan beberapa bidang keberhasilan utama parti itu.
Ini termasuk persediaan jentera parti menjelang pilihan raya ke-13 dan kempen menambah ahli serta membantu golongan miskin menerusi Yayasan 1MCA, melibatkan dan menjuarai kepentingan golongan masyarakat menerusi majlis perundingan NGO 1MCA dan memperkenalkan pemilihan parti untuk jawatan presiden dan jawatankuasa perhubungan negeri secara langsung.
Ong juga berkata MCA telah mendapat maklumat balas daripada akar umbi bahawa perbalahan umum yang semakin berkurangan antara pemimpin-pemimpin sejak akhir-akhir ini telah meningkatkan kembali tahap keyakinan rakyat terhadap parti itu.
"MCA semakin mendapat kembali sokongan kaum Cina. (Kekalahan) 8 Mac 2008 adalah satu pengalaman pahit buat parti tetapi daripada pengalaman itu, MCA mendapat pengajaran berguna yang akan membantunya menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.
Ong mengakui bahawa konflik dalaman parti itu tidak dapat dielak kerana MCA mempunyai lebih satu juta ahli.
"Tetapi sekarang ini semua ahli MCA mahu melihat parti berjaya," katanya.
Ketika ditanya mengenai kepimpinannya sejak 12 bulan lepas, Ong berkata terdapat "pasang surutnya" tetapi bagi beliau, setiap pergolakan itu akan mendorongnnya untuk bekerja lebih keras dan menjadi lebih kuat dan bijak.
"Saya mengambil alih jawatan presiden ketika kedudukan parti merosot ekoran pilihan raya 8 Mac, dan saya menghargai sokongan kuat ahli ketika kita berusaha untuk memulihkan parti," katanya.
Mengenai Perhimpunan Agung MCA hujung minggu ini, Ong berkata ia sepatutnya
diadakan pada November tahun lepas tetapi ditangguhkan kerana Jawatankuasa Pusat
parti berpendapat tarikhnya perlu diubah.
"Hujung ini adalah masa paling sesuai kerana ia bertepatan dengan sambutan ulang tahun MCA yang biasanya diadakan lewat Februari atau awal Mac," katanya.
- Bernama

