Takzir tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan: Abdul Hadi
Kerajaan PAS Terengganu tetap akan melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) yang berkuatkuasa di negeri ini mulai 1 Ogos lalu kerana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.
Katanya, pelaksanaan undang-undang Syariah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kerajaan negeri mempunyai hak untuk meneruskan penguatkuasaan enakmen itu.
Menurut laporan agensi berita nasional, Bernama , Abdul Hadi berkata, kandungan enakmen itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia merupakan undang-undang syariah yang sama dengan yang digunapakai oleh negeri lain.
Enakmen Takzir telahpun diluluskan lebih awal, sebelum Rang undang-undang jenayah syariah Hudud dan Qisas dibentang dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.
Enakmen itu digubal sebagai persediaan kepada pelaksanaan pelaksanaan Hudud dan Qisas, khususnya mengenai kesalahan yang tidak boleh dikategorikan secara khusus di bawah undang-undang berkenaan.
Sehubungan itu, Abdul Hadi berkata kerajaan negeri sedia berbincang dengan kerajaan pusat berkaitan pelaksanaan undang-undang itu sekiranya ada perkara yang dianggap bertentangan dengan peruntukan perlembagaan Persekutuan.
Menyalahi undang-undang
Abdul Hadi menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan persekutuan akan mengambil tindakan terhadap kerajaan PAS Terengganu jika ia menyalahi mana-mana undang-undang berkaitan pelaksanaan enakmen itu.
Abdul Hadi juga berkata Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) sepatutnya memainkan peranan untuk memberi penerangan kepada kerajaan pusat mengenai enakmen itu supaya semua pihak memahami kandungannya.
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) yang diluluskan Ogos tahun lalu antara lain menjadikan perbuatan mengkafirkan umat Islam sebagai satu kesalahan dan boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Antara kesalahan lain mengikut enakmen itu ialah mengganggu perhimpunan atau upacara agama, mendakwa diri sebagai rasul atau nabi atau imam Mahadi, mempersendakan ayat Quran atau Hadis, melakukan persetubuhan dengan bukan manusia, khalwat, memutarbelitkan ajaran dan hukum-hakam agama Islam dan mengganggu perempuan di tempat awam.
HARI TERAKHIR! Mulai Khamis ini, bersamaan 15 Ogos, seksyen berita dalam Malaysiakini tidak lagi diberi percuma. Jangan lepaskan peluang untuk terus mengikuti satu-satunya sumber dan penyebar berita bebas dari kami. Langgan SEKARANG! Klik sini


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.