Demonstrasi bagi membantah tindakan Al-Islam ‘menceroboh’ dua gereja di Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 25 Mac ini tidak lagi akan diteruskan.

NONE Penganjur demo itu, K Sudhagaran Stanley berkata pihaknya menganggap perkara berkenaan yang mencetuskan kemarahan peganut agama Katolik berakhir apabila pihak yang terbabit membuat permohonan maaf semalam.

"Kami terima permohonan maaf itu dan kes itu kini ditutup dan kami telah menang. Bagaimanapun kami tidak akan lupa cara peguam negara dan kerajaan bertindak dalam kes ini.

"Tiada tindakan diambil, meskipun selepas kami mengutus surat kepada perdana menteri,” katanya.

Stanley membuat laporan polis terhadap dua wartawan Al-Islam itu Jun lalu yang menyebabkan majalah berkenaan disiasat mengikut Akta Hasutan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa bulan lalu mendedahkan tiada tindakan akan diambil ke atas mereka yang terbabit.

ghani patail gani 060409 Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada kenyataan medianya 4 Mac lalu berkata tindakan kedua-dua wartawan itu mungkin melukai perasaan orang ramai tetapi beliau berpuas hati mereka tidak berniat jahat.

Katanya, berdasarkan keadaan ketika itu dan atas kepentingan keadilan, keamanan dan keharmonian, beliau memutuskan untuk tidak mendakwa mereka.

Menurut Gani, kedua-dua wartawan berkenaan juga tidak mengakibatkan sebarang gangguan ketika menyamar sebagai penganut agama Kristian di gereja St Anthony di Puduraya.