Parti anggota Barisan Alternatif (BA) dan pergerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong (DJZ), akan bergabung tenaga untuk melancarkan kempen penerangan secepat mungkin ke seluruh negara bagi memperjelaskan pendirian mereka menentang pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Sehubungan itu, BA dan DJZ juga akan mempelawa MCA, untuk turut serta memandangkan parti komponen Barisan Nasional itu dilaporkan tidak menyokong sepenuhnya pelaksanaan dasar baru itu.

Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali berkata, tindakan itu perlu bagi 'menyelamatkan' masa depan anak-anak Malaysia kerana tindakan kerajaan dalam penggunaan bahasa Inggeris itu boleh membawa kegagalan akademik pelajar di negara ini.

"Pada prinsipnya, BA dan DJZ akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai pendirian yang sama berhubung isu berkenaan," tambah Azmin, selepas berlangsungnya pertemuan selama dua jam di antara pemimpin BA dan DJZ di Kajang tengah hari ini

Para pemimpin BA daripada Keadilan, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) berikrar untuk meneruskan usaha Dong Jiao Zong itu walaupun terpaksa menghadapi risiko tindakan kerajaan, termasuk penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kata sepakat

"Isu ini bukanlah isu kaum Cina semata-mata, tetapi implikasinya membabitkan semua kaum di negara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan pemimpin BA dengan DJZ di Kajang hari ini.

DJZ diketuai oleh naib pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Dr Yap Sin Tian.

Azmin menambah pertemuan di antara BA dan DJZ hari ini membuktikan wujudnya kata sepakat antara kaum dalam isu ini, walaupun Umno terlebih dahulu menuding jari kepada persatuan-persatuan Cina sebagai "ekstremis" dalam mempertahankan pendirian mereka itu.

Semalam, delegasi Dewan Pemuda PAS Pusat yang diwakili oleh ketuanya, Mahfuz Omar, turut mencapai kata sepakat dalam pertemuan dengan DJZ di dalam isu yang sama.

Setiausaha Agung PRM, Dr Sanusi Osman, yang turut hadir dalam pertemuan hari ini berkata walaupun kerajaan telah menggunakan ISA sebagai ugutan, penerangan raksasa akan tetap diteruskan kerana isu pendidikan merupa agenda besar yang perlu diketahui umum.

Tidak boleh berkompromi

"Oleh itu, kita tidak boleh berkompromi dalam membuat penerangan mengenai perkara ini," kata Dr Osman.

Sebelum itu, Dr Wan Azizah mencabar Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamed agar mendedahkan hasil kajian yang didakwa telah dijalankan oleh kerajaan untuk memutuskan dasar baru pendidikan.

Dalam reaksinya terhadap kenyataan Musa semalam, Dr Wan Azizah berkata, rakyat negara ini berhak mengetahui hasil kajian tersebut, selain dari siapakah pengkajinya, di manakah kajian dibuat dan kaedah kajian apakah yang digunakan.

Wan Azizah sebaliknya mendakwa terdapat banyak kajian yang dilakukan di seluruh dunia yang menyatakan bahawa pelajar akan dapat memperolehi pengetahuan dengan lebih baik sekira pembelajaran di dalam bahasa ibunda.

Wakil PAS, Dr Dzulkifli Ahmad, pula menegaskan bahawa umum mengetahui pelajar luar bandar memang lemah dalam matapelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Menerima maklumbalas

"Apakah pencapaian pelajar di luar bandar akan meningkat sekiranya ketiga-tiga matapelajaran yang mereka sedia lemah ini digabungkan sekali?" soal beliau.

Mengenai keputusan yang tetap akan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) seperti yang diumumkan Musa semalam, Dr Dzulkifli berkata tindakan tersebut membukti kerajaan sebenarnya tidak demokratik.

Minggu lalu, Musa berkata Kabinet tidak akan membincangkan isu Sains dan Matematik bagi sekolah jenis kebangsaan (Cina dan Tamil) sehinggalah menerima maklumbalas daripada parti komponen bukan Melayu dalam BN.

MIC, bagaimanapun, telah menyatakan persetujuan dengan pendirian kerajaan untuk menggunakan bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Sehubungan itu, BA dan DJZ berkata kerajaan harus menarik balik keputusannya untuk memperkenalkan dasar baru pendidikan itu demi kebaikan semua.

Mereka juga meminta kerajaan agar tidak menggunakan ugutan ISA kerana semua kaum adalah terlibat dalam membantah tindakan kerajaan ini, dan bukannya penentangan oleh kaum Cina semata-mata seperti yang digambarkan oleh media kerajaan.