Walaupun hanya dihadiri oleh sebilangan kecil perwakilan pusat, sesi perbahasan mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-56 MCA hari ini berjalan dalam keadaan agak hangat dengan para pewakilannya menggunakan peluang itu untuk menyindir pemimpin yang tidak hadir selain menyuarakan kerisauan mereka terhadap kemelut dalaman parti.

Hanya 603 daripad mca agm 070310 crowd 02 a 2,378 perwakilan pusat yang menghadiri mesyuarat itu di Wisma MCA di Kuala Lumpur. Mereka mendakwa kebanyakkan perwakilan tidak hadir kerana keliru dengan perkembangan terbaru parti yang telah memecah-belahkan dan memburukkan lagi krisis kepimpinan parti itu.

Ada juga yang mendakwa terdapat cubaan untuk memboikot AGM tersebut oleh personaliti utama parti, yang telah meletak jawatan dalam Jawatankuasa Pusat (CC) bagi membolehkan pemilihan baru diadakan pada 28 Mac ini.

Beberapa perwakilan turut membidas dan menyindir tindakan bekas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang meletak jawatan Khamis lepas, yang sekaligus merumitkan lagi penganjuran AGM ini.

mca agm 070310 ong tee keat 04 Perwakilan dari Melaka Datuk Kian Sit Har berkata tindakan Chua itu didakwa ada kepentingan sendiri dan tidak mempertimbangkan perpaduan dan keharmonian parti.

    

“Mereka boleh meletak jawatan. Tapi mengapa harus memilih untuk berbuat demikian tiga hari sebelum AGM? Semua anggota CC yang meletak jawatan tidak ada tokoh langsung,” katanya.

Perwakilan yang hadir juga rata-ratanya penyokong presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat yang menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan beliau.

Mereka juga meminta beliau supaya meneruskan perjuangan walaupun terus dibelenggu dengan pelbagai masalah dalaman dan luar parti, selain meneruskan usaha perubahannya supaya parti itu kekal relevan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan terutamanya masyarakat Cina.

Perwakilan dari Johor Lim Pay Hen juga berasa kecewa dan meragui keikhlasan bekas naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan kumpulannya terhadap MCA, kerana mereka tidak hadir pada majlis sambutan ulang tahun ke-61 parti malam semalam.

"Majlis mca agm 070310 stage 02 semalam sepatutnya disokong oleh semua pemimpin dan anggota CC MCA manakala sekumpulan tidak mahu menghadiri atas alasan tersendiri, maka saya memang ragui kesetiaan mereka terhadap parti," katanya.

Sementara itu, perwakilan Pulau Pinang yang juga setiausaha pengelola kebangsaan sayap Wanita MCA Tan Cheng Liang mengetengahkan isu perbalahan AGM sayap Wanita yang berlangsung semalam, walaupun telah diarah ditunda oleh ketua sayapnya Datin Paduka Chew Mei Fun Jumaat lepas.

Beliau menegaskan AGM yang dihadiri 350 perwakilan semalam adalah memenuhi syarat dan sah mengikut perlembagaan parti.

Timbalan Setiausaha MCA Melaka Senator Lee Cheam Choon turut mendakwa ada cubaan daripada pihak tertentu untuk menghalang perwakilan menghadiri AGM hari ini.

Walaupun tidak dapat mengesahkannya, beliau berkata: "Ini adalah tidak wajar kerana perhimpunan agung hari ini merupakan satu pentas membolehkan perwakilan dan pemimpin pucuk parti berkomunikasi dan mendengar suara hati mereka. Bagaimanapun, sekumpulan anggota sanggup melepaskan peluang keemasan ini".

- Bernama