Keselamatan pekerja binaan belum terjamin
Pemeriksaan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati keselamatan pekerja di tapak binaan masih tidak memuaskan, terutamanya bagi bangunan yang kurang daripada empat tingkat.
Kerajaan kini mewajibkan 70,000 pekerja sektor pembinaan, termasuk buruh asing, menghadiri kursus sehari berhubung keselamatan dan kesihatan sebelum pertengahan tahun depan, kata Menteri Sumber Manusia Dr. Fong Chan Onn hari ini.
"Kontraktor mestilah mengambil kewajipan mereka mengendalikan kursus itu untuk keselamatan pekerja," kata Fong ketika merasmikan "Kempen Bulan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2000" di Bangunan PWTC pagi ini.
Bagaimanapun, menurutnya lagi, rekod kemalangan maut di tapak binaan dalam tiga tahun lepas telah menurun daripada 130 kes kematian pada tahun 1997 kepada 34 kes kematian pada tahun lalu.
Fong juga menjelaskan bahawa menurut rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso), bilangan kemalangan industri menurun daripada 125,506 kes pada tahun 1994 kepada 95,222 kes pada tahun 1999.
"Ini jelas menunjukkan bahawa langkah kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 telah mula menunjukkan hasil," kata Fong.
Beliau berkata, pemerhatian JKKP mendapati banyak tempat kerja telah mematuhi keperluan akta seperti mengadakan polisi keselamatan dan kesihatan, membentuk jawatankuasa dan jawatan pegawai keselamatan dan kesihatan dalam organisasi mereka.
Bagaimanapun, tambahnya, kemalangan dalam perjalanan pergi-balik dari dan ke tempat kerja masih membimbangkan kerana rekod[#1] Perkeso[/#] menunjukkan lebih kurang 20 peratus kemalangan dilaporkan tergolong dalam kategori ini.
"Di kawasan tertentu seperti di persekitaran Petaling Jaya didapati peratusan ini meningkat sehingga 30 peratus," kata Fong. Beliau mencadangkan majikan mengadakan program pemanduan berhemat untuk mengatasi masalah berkenaan.
Beliau menegaskan, selain masalah itu, kes kemalangan yang tinggi di sektor industri kecil dan sederhana, kemalangan maut dalam industri pembalakan dan jangkitan zoonosis dalam sektor penternakan perlu diberikan perhatian segera oleh semua pihak.
Menurut beliau, sehingga Ogos tahun ini, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (IKKPN) telah menganjurkan sebanyak 406 kursus yang melibatkan seramai 9,357 peserta.
Sementara itu, apabila ditanya mengenai kos peralatan keselamatan yang tinggi, Fong menegaskan, meski kos tinggi, tetapi pengurangan dalam kemalangan akan menurunkan kos pengeluaran.
"Mereka (majikan) mesti mempunyai keinginan untuk melakukannya, kita harap dapat meningkatkan kesedaran mereka," kata Fong.
Menteri itu juga menyarankan majikan dan pekerja agar menggunakan perkhidmatan internet untuk mendapatkan maklumat berguna mengenai keselamatan dan kesihatan.
"Banyak laman web yang mengandungi maklumat yang amat berfaedah telah dibina oleh pihak tempatatan dan juga luar negara," kata Fong lagi.
"Masalah baru seperti penyalahgunaan dadah, penyakit AIDS, tekanan, keganasan tempat kerja serta isu gender adalah cabaran baru yang perlu dihadapi dan diselesaikan secara berkesan."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.