Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menasihatkan umat Islam, khususnya di Singapura, yang was-was terhadap kesucian "air baru" (Newater) supaya mengelak dari meminum air tersebut.

"Perasaan ragu itu mesti ada kerana kita tahu ianya dari kumbahan manusia. Jika ragu terhadap kesucian air tersebut, lebih baik jangan minum. Lagipun, masih ada pilihan lain di sana. Banyak air mineral yang masih dijual yang boleh diminum.," kata Yang Dipertua PUM, Haji Abdul Ghani Shamsudin hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebab mengapa air tersebut tidak boleh digunakan untuk kerja tujuan lain seperti membasuh dan sebagainya.

"Jika sistem kitaran yang menukarkan air kumbahan manusia kepada air biasa, iaitu melalui penerapan dalam tanah-tanih dan pasir, di mana kotorannya telah di tapis dan air dipastinya bersih, ianya tetap air mutlak. Maka ianya boleh diminum, digunakan untk mengambil wudhu dan sebagainya," kata Abdul Ghani lagi.

Bagi mendapat kepastian mengenai proses pembersihan itu, mereka, khususnya umat Islam di republik itu boleh pergi melihat sendiri bagaimana ia dilakukan bagi memastikan ia benar-benar mematuhi kehendak Islam.

Hilangkan keraguan

Baru-baru ini Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengumumkan air Newater boleh diminum tanpa was-was kerana ia disifatkan sebagai air suci.

Jawatankuasa itu berpendapat Newater yang telah diproses akan dicampurkan terlebih dahulu dalam kolam air sebelum kegunaan awam dan ia bertepatan dengan hukum fitrah.

Bagaimanapun, fatwa tersebut tidak dapat menghilangkan keraguan di kalangan sebahagian masyarakat Melayu di republik itu.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan Presiden Perhimpunan Hak Asasi Melayu Singapura (Perhakam) Ibrahim Ariff sebagai berkata, sebahagian rakyat Singapura merasa "geli" untuk meminum air tersebut.

Malah pertikaian terhadap kesucian air tersebut hebat diperbincangkan oleh masyarakat Islam melalui internet dan masih ramai yang enggan mencuba air tersebut yang mula diperkenalkan pada 8 Ogos lalu di mana 60,000 botol diedarkan percuma sempena sambutan hari kebangsaan republik itu.

Kerajaan Singapura telah memutuskan untuk membina proses kitar semula dari kumbuhan manusia untuk mengatasi masalah bekalan air di mana setengah dari keperluan hariannya bergantung kepada bekalan dari Malaysia.

Masaalah bekalan air itu berpunca dari pertelagahan selepas kerajaan Malaysia bercadang menaikkan harga jualan air mentah kepada Singapura kerana mendakwa harga sekarang, 3 sen segelen, adalah terlalu rendah. Republik itu yang menggunakan 300 juta gelen air sehari.