MP Bebas dipelawa sertai GERAK
Ahli parlimen (MP) Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dan MP bebas yang lain hari ini dipelawa untuk menyertai Gerakan Rakyat Integriti dan anti Korupsi (GERAK).
Dalam satu kenyataan hari ini, GERAK mengalu-alukan penyertaan Zulkifli bagi memperjuangkan isu integriti dan anti-korupsi atas nama Islam.
Ini kerana, beliau dilihat merupakan seorang yang komited dalam memperjuangkan isu Murtad dan umat Islam.
"GERAK menghormati pendirian beliau terutamanya terhadap isu penggunaan kalimah Allah.
"Namun GERAK mengajak beliau untuk memperjuangkan isu yang lebih universal dan paling utama iaitu integriti dan Anti Korupsi di Negara ini," kata GERAK.
Menurut badan itu lagi, banyak kerajaan sebelum ini tumbang disebabkan gejala korupsi dan salahguna kuasa.
"Misalnya, kejatuhan Kerajaan Islam Melayu Melaka pada masa dahulu hakikatnya berpunca daripada faktor dalaman seperti penyelewengan di kalangan pembesar istana, rasuah di jeti pelabuhan dan kepimpinan yang tidak amanah serta sanggup menjual Negara kepada pihak asing," tambahnya.
GERAK turut menggesa MP Bebas yang lain untuk bersama-sama dengannya selaku satu-satunya gerakan rakyat yang komited dan bebas untuk membanteras korupsi dan salahguna kuasa secara holistik.
"Diharapkan agar MP terbabit kembali kepada prinsip memperjuangkan integriti dan hak rakyat disamping mengenepikan sama sekali politik peribadi yang tidak menguntungkan negara," katanya.

