Mesyuarat antara parti-parti yang mewakili masyarakat Cina dalam Barisan Nasional (BN) hari ini gagal mencapai kata sepakat mengenai cadangan kerajaan untuk menggunakan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah Cina mulai tahun depan

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik berkata persetujuan masih belum dapat dicapai walaupun mesyuarat hari ini adalah yang ketiga diadakan di antara MCA, Gerakan, Parti Bersatu Rakyat Sarwak (SUPP) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) kerana masih memerlukan masa bagi mengkaji keseluruhan cadangan itu.

Dr Ling ( tengah ) yang bercakap pihak semua parti-parti yang terlibat, menegaskan sebuah lagi parti Cina komponen BN, Parti Liberal Demokratik (LDP) dari Sabah, tidak menghadiri mesyuarat hari ini yang berlangsung selama satu jam, mulai jam 3 petang, di pejabat Dr Ling di Putrajaya.

Hadir sama ialah Presiden Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik dan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Dr Ling berkata, semua parti terbabit masih berusaha untuk mencari kata sepakat mengenainya.

Penyelesaian yang betul

Apa yang penting katanya, mereka mahu melihat isu itu dari aspek pendidikan dan intelektual, dengan mengenepikan soal emosi. Mereka dijangka bermesyuarat lagi minggu depan dan dijangka akan turut disertai oleh LDP.

"Kami telah memutuskan selepas mesyuarat hari ini bahawa kami belum dapat menyiapkan tugas-tugas yang perlu (untuk membuat keputusan)," kata Dr Ling yang mengetuai MCA. Beliau turut disertai oleh timbalannya, Datuk Lim Ah Lek, serta dua naib presiden, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Datuk Fong Chan Onn.

Ling, yang kelihatan agak tertekan, berkata penyelesaian yang "betul" kepada isu ini adalah perlu "untuk (masa depan) anak-anak di negara ini".

Ditanya mengenai tempoh jangkamasa yang diberikan kepada MCA dan parti komponen lain untuk membuat pendirian, Ling berkata, mereka tidak dapat menghadkan kepada tempoh tertentu, kerana masa yang mencukupi diperlukan dalam membuat keputusan yang betul.

Apabila ditanya apakah yang boleh parti komponen Cina BN boleh lakukan buat masa ini kerana Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamed berkata, kerajaan akan tetap melaksanakan dasar itu tanpa menunggu maklumbalas mereka, Ling berkata: "Kami tidak mahu terlibat di dalam kontroversi sesama sendiri (dengan Kementerian Pendidikan). Kami tidak mahu dihasut oleh mana-mana pihak."

Jangan menghasut

Katanya, parti-parti komponen Cina BN masih membincang dan mencari persetujuan dalam perkara ini secara cepat dan senyap, dan menegaskan tidak perlu bagi mana-mana pihak, termasuk media, untuk "menghasut".

Keputusan yang dibuat hari ini dianggap mengejutkan kerana parti-parti Cina dalam BN dijangka akur dengan penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, kerana desakan dari kerajaan.

Umno pula telah melabel golongan pendidikan Cina yang menentang dasar ini sebagai "ekstremis" manakala Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin, mengingatkan bahawa mereka yang menjuruskan perkara ini kepada perkauman, boleh diambil tindakan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Rabu lalu, menteri pendidikan menyatakan bahawa kerajaan akan meneruskan dasar pendidikan ini walaupun tanpa komitmen dari parti kaum Cina di dalam BN.

Seminggu sebelum itu, Musa berkata, Kabinet tidak akan membuat sebarang keputusan sehingga mendapat maklumbalas dari parti-parti yang mewakili kaum kedua terbesar di negara ini.