Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali percaya usaha yang dijalankannya melalui Majlis Perundingan NGO Melayu (MPM) akan menerima sambutan golongan muda, walaupun kebanyakan pemimpin dalam majlis tersebut, terdiri daripada muka-muka lama.

Dalam bahagian terakhir temubual ini juga, ahli parlimen Pasir Mas yang terkenal dengan kelantangan  suaranya, turut menyatakan pendirian dalam permohonan royalti minyak oleh kerajaan PAS Kelantan.

Ibrahim juga bercakap mengenai hubungannya dengan PAS  yang memberi peluang kepadanya bertanding di Kelantan atas tiket parti itu. Ibrahim dilihat semakin jauh dari parti itu apabila mengambil beberapa pendirian yang tidak sehaluan dengan PAS.

Setakat ini, lima lagi ahli parlimen telah mengikut jejak Ibrahim untuk menjadi suara bebas di parlimen, dan ini dialu-alukan olehnya.

Sambil mengelak apabila diajukan beberapa soalan, Ibrahim sekali lagi mengambil peluang untuk  'menyekolahkan' Malaysiakini mengenai isu-isu sensitif yang menurutnya, tidak sepatutnya dijadikan bahan laporan.

 

Sejauh mana sokongan golongan muda dalam usaha ini?

Ada, golongan muda ramai. Dalam PERKASA ramai golongan muda. Saya pun bangga kerana bukan sikit  golongan muda (sertai PERKASA). Setiap hari ada dekat 200 orang masuk. (Gabungan Pelajar Melayu  Semenanjung) juga sebahagian daripada MPM.

Berapa kekuatan MPM ini?

Saya tidak boleh anggar kerana ini bergantung, kalau anda nak anggar dari jumlah keahlian satu persatuan mungkin ada dua ribu, mungkin ada tiga ribu, anda campur, tapi kalau 76 (anggota gabungan MPM), saya ingat sejuta (orang) lebih ataupun hampir dua juta (orang) kalau termasuk (semua) Dewan Perniagaan Melayu, Persatuan Kontraktor Melayu, GPMS, PERKASA, Dewan Perniagaan Islam... Besar-besar semua ni. Jadi semuanya pertubuhan yang ada ahli ramai.

Berapa ramai keahlian PERKASA?

Saya tidak tahu sebab sekarang ini sedang diproses. Yang saya tengok borang yang belum diproses yang di pejabat itu pun dah sekarang ini, kad ahli dengan sijil lebih kurang 5,000 lebih. Tapi yang belum proses ada dekat 50,000 lebih.

Jadi, golongan muda Melayu sudah semakin aktif melalui PERKASA?

Memang, dan kita akan melawan. Sekarang kita dah tidak jadi defensif lagi dah. Kita sekarang mengambil sikap ofensif.

Golongan ini akan dibawa turun ke padang?

Belum, itu kita akan bincang dalam MPM lah. Ia bukan keputusan peribadi saya. Itu bergantung, maknanya ada tindakan yang kita akan buat atas nama MPM, dan ada juga tindakan yang kita akan buat atas nama individu masing-masing. Mungkin ada ketika, kita tak dapat kata sepakat. Maka kita boleh bertindak atas persatuan masing-masing.

Royalti minyak

Pendirian saya mudah saja. Sekarang ini kalau Kelantan berhak terima royalti minyak, bawa pergi ke mahkamah. Kalau mahkamah kata Kelantan berhak, OK, Alhamdulillah, saya pun seronok. Sambil tunggu mahkamah putuskan, kerajaan sudah bagi wang ehsan, bagus juga. sekurang-kurangnya boleh makan dulu, rakyat boleh rasa dulu sebelum tunggu mahkamah selesaikan, tak tahu bila.

Datuk sokong usaha dapatkan royalti?

Ya, tapi dengan saluran yang betul iaitu dengan bawa ke mahkamah, tidak dengan cara dipolitikkan isu ini sampai ke kampung-kampung, hanya untuk timbulkan sentimen bagi rakyat marah, buat apa?

Dia lebih kepada nak cari keuntungan politik daripada (isu) royalti minyak, bukan berjuang untuk kepentingan rakyat. Saya tengok begitu.

Datuk sama-sama terlibat dengan pemimpin Kelantan untuk cari penyelesaian atau menguatkan tuntutan?

Tak ada, saya beritahu kerajaan negeri dalam ucapan saya, kalau kerajaan negeri tidak bawa ke mahkamah, duduk main-main dan lengah-lengah, duduk politikkan isu ini, saya akan bawa ke mahkamah bagi pihak Kelantan.

Saya dah kaji dari segi undang-undang. Mula-mula saya ingat rumit kerana saya tidak ada locus standi kerana perjanjian yang dibuat itu antara Petronas dengan kerajaan negeri. ianya bukan antara individu. Tetapi sebagai rakyat kelantan, saya bincang dengan peguam-peguam saya, ada cara dan kaedahnya yang boleh saya bawa ke mahkamah dan pada masa sama saya akan minta supaya kerajaan negeri mencelah di waktu prosiding tuntutan kalau saya terpaksa bawa, kalau kerajaan negeri tidak bawa.

Saya dapati kerajaan negeri sudah bawa usul ke DUN, dan diluluskan jadi saya harap akan dicepatkanlah. Jadi, jangan lagi jadikan isu politik, bawa ke kampung-kampung duduk bawa cerita bukan-bukan untuk dapatkan keuntungan politik. Kalau nak cari keuntungan politik, dengan cara lainlah.

Jangan main isu yang ada kaitan perundangan. Rakyat akan jadi lagi keliru.

Pandangan Datuk mengenai peningkatan jumlah MP bebas?

Saya mengalu-alukan sekarang ini makin ramai (wakil) bebas di parlimen, dulu saya seorang. Kemudian  disertai dua daripada Sabah. Dan baru-baru ini daripada Bayan Baru, kemudian disusuli dengan Nibong Tebal dan hari ini Bagan Serai.

Jadi bermakna sudah ada enam dan saya jangka mungkin ada lagi yang ke depan. Kalau ada jumlah yang banyak, boleh kira sebagai satu blok, jadi ia mungkin boleh beri impak kepada senario politik negara.

Datuk boleh ketuai blok ini?

Itu terserah kepada dia orang lah, macam mana kita nak kata kita ketua. Macam mana anda selalu tanya benda-benda yang kita tak buat lagi? Saya menjadi pengikut pun tak apa. Saya duduk belakang pun tak apa, jadi saya tidak begitu ghairahlah.

Saya ghairah dengan perjuangan Melayu. Saya tidak ghairah dengan pangkat, saya tidak ghairah dengan jawatan. Saya tidak ghairah semua ini, dengan rumah besar ke, kehidupan mewah ke, semua ini saya tidak ghairah. Tapi bila mari soal perjuangan Melayu, Bumiputera dan Islam, memang saya ghairah.

Naib yang dipertua PERKASA Sarawak orang Iban, Kristian. Dan baru-baru ini bila timbul isu kalimah Allah, kita pergi ke sana dan ada majlis untuk berucap. Kita beri penjelasan dan dia terima dengan elok. Tak ada apa masalah dah. Sebab saya tumpu kepada soal keselamatan.

Adakah PERKASA akan sertai BN?

Saya tidak tahu, saya sendiri saya tidak fikir semua ini sebab kalau PERKASA hendak buat apa-apa pun, ia mesti diputuskan oleh ahli. Ia mesti melalui mesyuarat agung luar biasa.

Usul ini akan dibawa?

Belum, tak ada lagi. Kita tidak minat semua ini.

Jadi Datuk sendiri setakat ini akan teruskan sebagai wakil bebas?

Setakat ini (Mengangguk kepala). Tetapi politik boleh berubah macam-macam lah. Tengok Pakatan Rakyatlah. Dulu nak pergi ke Putrajaya, sekarang ini usah kata Putrajaya, kat Ipoh pun tak

sampai.

Bagaimana hubungan Datuk dengan kerajaan PAS Kelantan sekarang?

(Sokongan akar umbi) saya masih di Pasir Mas. Sekarang biasa saja, saya berkawan dengan semua orang. Saya ini, satu perkara tentang saya, walaupun orang kata garang, lantang ke, tapi saya boleh berkawan dengan semua orang.

Dan kalau orang bantai saya, saya tidak kisah. Jadi bila saya bantai balik, relakslah. Jangan melenting. Jadi, sesetengah orang, kalau dia bantai orang, orang bantai dia balik tak boleh. Saya gentleman.

Saya tidak kisah, apa-apa anda nak kata tentang saya, teruskan. Tetapi apa juga yang saya nak kata, lapor baik-baik. Jangan main-main. Saya tidak kisah bab ini. Saya cukup terbuka.

Mesej Datuk kepada warga Malaysiakini dan pembacanya?

Soalnya, bila kita mengamalkan keterbukaan dalam laporan dan sebagainya, kena bertanggungjawab. Ada perkara yang tidak perlu siar, tak payah siar, yang menimbulkan sensitiviti.

Ada sesetengah itu, kalau sikit-sikit itu tak apalah. Tapi kalau boleh menimbulkan ketegangan, saya tidak tahu, ini percakapan orang ramai.

Di coffee house di mana-mana pun, orang kata 'ini gila Malaysiakini ni', lebih kurang macam tulah. Terutamanya orang Melayu.

Saya tidak tahu kenapa. Jadi ada kenyataan seumpama itu. Jadi nasihat saya, berhati-hatilah. Maknanya bila buat laporan apa semua itu jangan banyak innuendo atau jangan banyak andaian. Anda selalu nak tanya benda-benda yang belum berlaku lagi. Ini yang kadang-kadang jadikan benda tegang, tak pasal-pasal. Padahal bendanya belum ada lagi.

Jadi, buat laporan berdasarkan fakta dan jaga-jaga dari segi perkara sensitif. Saya nak beritahu, dalam buku 'An Introduction to the Federal Constitution' oleh bekas ketua hakim negara, Tun Mohamed Suffian Hashim, dia sebut dengan jelas: Asas perlembagaan negara yang merujuk kepada Perkara 153.

Selepas 13 Mei, sekali lagi Perkara 153 ini dilindungi dengan lebih kuat di bawah Akta Hasutan. Di mana, kata Tun Mohamed Suffian, selepas pindaan tahun 1971, tiada siapa yang boleh bercakap, berbincang sama ada secara tertutup atau terbuka atau malah badan pembuat undang-undang, perkara yang berkaitan dengan hak dan keistimewaan pribumi, termasuk kerakyatan dan seumpamanya.

 

ADS