Pemuda Umno pertahan keputusan Gerakan tolak BI
Pemuda Umno hari ini mempertahankan pendirian parti Gerakan yang menolak penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah Cina kerana mendakwa ianya beralaskan soal pencapaian akademik dan bukannya bersifat perkauman.
Ketua Penerangan Pemuda Umno, Azimi Daim, menyifatkan tindakan Gerakan sebagai "rasional" kerana alasan parti itu boleh diterima akal dan bukannya berdasarkan emosi seperti pergerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong.
Bagaimanapun, Dong Jiao Zong, ketika diminta mengulas pendirian terbaru Pemuda Umno itu, meminta pergerakan itu'membaca sendiri' kenyataan penuh pertubuhan itu untuk memahami pendirian sebenar mereka.
"Pemuda Umno melihat terdapat perbezaan yang nyata antara pendirian Gerakan dan Dong Jiao Zong walaupun kedua-dua menentang dasar baru pendidikan tersebut," kata Azimi ketika dihubungi malaysiakini .
Pemuda Umno hari ini mempertahankan pendirian parti Gerakan yang menolak penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah Cina kerana mendakwa ianya beralaskan soal pencapaian akademik dan bukannya bersifat perkauman.
Ketua Penerangan Pemuda Umno, Azimi Daim, menyifatkan tindakan Gerakan sebagai "rasional" kerana alasan parti itu boleh diterima akal dan bukannya berdasarkan emosi seperti pergerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong.
Bagaimanapun, Dong Jiao Zong, ketika diminta mengulas pendirian terbaru Pemuda Umno itu, meminta pergerakan itu'membaca sendiri' kenyataan penuh pertubuhan itu untuk memahami pendirian sebenar mereka.
"Pemuda Umno melihat terdapat perbezaan yang nyata antara pendirian Gerakan dan Dong Jiao Zong walaupun kedua-dua menentang dasar baru pendidikan tersebut," kata Azimi ketika dihubungi malaysiakini .
Jejas identiti bangsa
Sebaliknya, Azimi mendakwa bahawa pergerakan pendidikan Cina itu cuba membangkitkan isu perkauman dengan mempertahankan identiti bangsa dan budaya kaum itu di negara ini.
"Setiap kaum di negara ini mempunyai alasan yang tersendiri mengenai isu ini, tetapi Pemuda Umno secara jelas tidak dapat menerima apa-apa alasan dari mana-mana kaum yang mengatakan penggunaan bahasa Inggeris akan menjejaskan identiti bangsa dan budaya mereka," katanya lagi.
Oleh itu, Azimi menyarankan pihak-pihak yang tidak bersetuju agar dapat "memandang jauh ke hadapan" supaya melihat dengan jelas apa yang cuba diterjemahkan oleh dasar tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Dr Yap Sin Tian, berkata Pemuda Umno sebenarnya masih kabur dengan pendirian pergerakan pendidikan Cina itu.
"Jika mereka mahu, mereka boleh datang ke sini (ibupejabat Dong Jiao Zong di Kajang) dan mengambil kenyataan-kenyataan yang telah kami keluarkan supaya mereka faham apa yang kami perjuangkan," kata Dr Yap.
Bahasa ibunda
Dong Jiao Zong, dalam kenyataannya sebelum ini berkata, ia menentang dasar itu kerana bimbangkan pencapaian murid Sekolah Cina akan terjejas kerana terpaksa belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Pergerakan pendidikan Cina itu menekankan bahawa dasar baru ini boleh menjejaskan pencapaian mereka yang begitu cemerlang dalam bahasa ibunda mereka selama ini.
Sejajar dengan itu, pergerakan pendidikan Cina itu mahukan agar pendekatan baru dicari bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan bukannnya melalui matapelajaran Sains dan Matematik.
Dr Yap mengulangi bahawa penentangan terhadap dasar baru ini bukanlah sahaja datangnya dari kaum Cina, malah turut melibatkan kaum Melayu dan India.
"Kaum Melayu dan India juga bimbang identiti bangsa mereka akan turut terjejas pada masa depan sekira bahasa masing-masing tidak lagi digunakan dengan meluas," kata Dr Yap.
Isu perkauman
Oleh itu, Dr Yap menyifatkan tindakan Pemuda Umno melabel pergerakan pendidikan Cina itu sebagai "ekstremis", dan pada masa yang sama mempertahankan Gerakan, adalah suatu tindakan yang tidak adil sama sekali serta berat sebelah.
"Ini adalah soal pendidikan, dan sama sekali tidak ada kena mengena dengan isu perkauman," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan Pemuda Umno agar berhati-hati dalam membuat tuduhan atau melabel mana-mana pihak.
"Kalau nak buat tuduhan, biarlah sesuatu yang masuk akal, dan bukannya yang boleh dijadikan bahan ketawa oleh mana-mana pihak," tegas Dr Yap.
Bagaimanapun, beliau gembira dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk mendengar maklumbalas dari semua pihak dalam melaksanakan isu ini.
"Tetapi, kami tetap berharap agar kerajaan dapat menarik balik pelaksanaan dasar baru pendidikan ini," katanya.
Maklumat palsu
Sementara itu, menurut agensi berita nasional, Bernama , Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik mendakwa Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M.Kayveas telah memberi maklumat palsu dan mengelirukan mengenai cadangan yang dikemukakan oleh Gerakan membabitkan pengajaran mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.
Kayveas dipetik oleh sebuah akhbar tempatan hari ini sebagai berkata PPP mahu keanggotaan Gerakan dalam Barisan Nasional (BN) digantung kerana parti itu tidak menyokong pengajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris di semua sekolah tahun depan.
"Beliau (Kayveas) memberi maklumat mengelirukan kerana dia tidak faham tajuk. Yang saya katakan "kami mahu bahasa Inggeris diperbaiki, ya kepada dasar kerajaan untuk membaiki pengajaran matematik dan sains," kata Dr Lim yang juga Menteri Perusahaan Utama, kepada pemberita pada pelancaran satu seminar di sini.
"Namun, kami tidak berpendapat bahawa mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dalam bahasa Inggeris, dengan medium pengajaran dalam Bahasa Malaysia, China atau Tamil, akan mencapai objektif dalam memperbaiki standard bahasa Inggeris dan mata pelajaran Matematik dan Sains."
Dr Lim berkata Gerakan mencadangkan supaya bahasa ibunda digunakan sebagai perantara pengajaran di "semua sekolah rendah", dan pengajaran peristilahan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dimulakan dari Tahun Lima dan Enam.
Parti itu juga mencadangkan supaya pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dari Tahun Satu dimulakan pada tahun 2004.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.