Walaupun pihak pembangkang mendakwa bahawa persempadanan semula kawasan pilihanraya menguntungkan parti kerajaan, tetapi ia tidak bermakna semuanya 'kawasan selamat' bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib hari ini.

"Bagi saya, kawasan paling selamat ialah Hulu Selangor. Kalau dipecah dua pun, kita boleh menang. Tetapi kawasan lain yang dipecah dua, umpamanya di Shah Alam, bukan 100 peratus selamat bagi BN," kepadanya kepada malaysiakini .

Dalam cadangan persempadanan semula itu, Selangor mendapat tambahan lima kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)

Bagaimanapun, Kelantan yang diperintah oleh PAS tidak mendapat tambahan kerusi Parlimen. Negeri itu hanya mendapat tambahan dua kerusi DUN. Manakala sebuah lagi negeri yang diperintah oleh PAS Terangganu tidak mendapat sebarang tambahan kerusi Parlimen dan DUN

Ini mendorong pemimpin PAS mendakwa bahawa cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya kali ini hanya membabitkan negeri-negeri lain, yang menguntungkan kerajaan yang memerintah sekarang.

"Memanglah bagi PAS, apa yang dibuat oleh SPR, ia tidak setuju. Parti itu tidak dapat membezakan antara SPR dengan kerajaan. Ia anggap apa SPR buat, apa yang Umno dan BN buat, sama saja. Apabila tak puashati, PAS kata ianya menguntungkan BN," tegasnya lagi.

Tidak puas hati

Sebagai contohnya, kata Taib, Lembah Kelang merupakan kawasan yang pesat membangun, terutamanya di kawasan seperti Ampang, Petaling Jaya dan Kelang.

"Tak kanlah kawasan yang penduduk berjumlah 120,000 orang hanya mempunyai seorang wakil rakyat? Kalau di Selangor, kawasan yang ditambah kerusi pilihanraya merupakan kawasan yang pesat membangun dan ramai pertambahan penduduk," tambahnya.

Katanya, justifikasi SPR menambah kerusi Parlimen dan Negeri di kawasan terbabit, antaranya ialah berdasarkan kepada jumlah penduduk dan kepesatan pembangunannya.

"Selepas 10 tahun, banyak perubahan yang telah berlaku. Maka ia perlu disesuaikan mengikut keadaan semasa, sepertimana yang difikirkan perlu oleh SPR. Tetapi ia tidak bermakna kawasan PAS tidak boleh usik ataupun tidak boleh kacau kawasan Umno. Kita kena terima keputusan SPR dalam hal ini," tegasnya.

Malah, kata Taib, ada juga pemimpin Umno yang tidak puas hati dengan cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dicadangkan oleh SPR di negeri masing-masing.

"Selain beberapa pemimpin Umno yang tidak puas hati di Johor Bahru, saya dengar Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob, turut menyuarakan tidak puas hatinya dengan persempadanan semula beberapa kawasan di negerinya.

Pantau prestasi

Johor mendapat tambahan kerusi terbanyak - enam Parlimen dan 14 DUN manakala Pahang pula mendapat tiga Parlimen dan empat DUN.

"Pecah kawasan satu hal...prestasi Umno satu hal yang lain yang kita sentiasa pantau. Pembangkang tidak boleh tuduh sewenang-wenangnya. Kalau nak buat kesimpulan yang SPR pro kerajaan, tak kanlah ada pemimpin Umno yang tak puashati," tegasnya.

Bagi lain-lain negeri, Sabah mendapat lima Parlimen dan 12 DUN; Pulau Pinang (dua Parlimen, tujuh 2 DUN); Perak (satu Parlimen, tujuh DUN); Negeri Sembilan (satu Parlimen, empat DUN); Melaka (satu Parlimen, tiga DUN); Kelantan (dua DUN) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur satu Parlimen.

Jumlah kerusi Parlimen dan negeri bagi Perlis, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak berubah.

Dengan itu jumlah kerusi Parlimen meningkat dari 194 kepada 219 26 di Johor, Sabah (25), Selangor (22), Pahang (14), Pulau Pinang (13), Perak (24), Negri Sembilan (8), Melaka (6), Wilayah Persekutuan (11).

Manakala kerusi DUN pula bertambah dari 504 kepada 563 daripada 504 -- 60 di Sabah, Perak (59), Johor (54), Selangor (54), Kelantan (45), Pahang (42), Negri Sembilan (36), Penang (35) dan Melaka (28).