Dua parti pembangkang Negeri Sembilan hari ini menghantar memorandum kepada Menteri Besar sebagai membantah "campur tangan politik" dalam pelantikan ahli-ahli jawatankuasa masjid di negeri itu.

Memorandum itu dihantar selepas sembahyang Jumaat tengahari tadi dengan diiringi kira-kira 100 penyokong PAS dan Parti Keadilan Nasional.

Pengerusi Perhubungan Keadilan negeri Ruslan Kassim dan rakan sejawatnya daripada PAS MK Ibrahim bersama ketua-ketua Pemuda negeri Jaafar Mohamad (PAS) dan Shamsul Bahari (Keadilan) menyerahkan memorandum itu kepada Masjid Agama Islam Negeri Sembilan (Mains).

Cadangan asal untuk menyerahkan memo bantahan itu kepada pejabat Menteri Besar dibatalkan akibat sekatan polis. Shamsul memberitahu malaysiakini , kira-kira 100 anggota polis dan pasukan antirusuhan FRU bersama kenderaan meriam air menghalang pergerakan mereka.

Pengarah Mains, Ahmad Mahir, kemudian berjanji akan menyerahkan memornadum tersebut kepada Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Ketua Polis Daerah ACP Abdul Khalid Abu Hassan dilaporkan berkata hari ini bahawa orang ramai dilarang menyertai perhimpunan itu yang tidak mempunyai permit.

Polis akan mengambil tindakan di bawah seksyen 27 Akta Polis dan sekiranya sabit kesalahan, seseorang boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara sehingga satu tahun.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, kes hasutan Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor akan disebut semula di mahkamah tinggi di sini pada Rabu depan.

Ezam dituduh di mahkamah sesyen Selasa lalu di bawah seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 atau kesalahan mengeluarkan kata-kata menghasut "untuk mengadakan demonstrasi setiap hari bagi menggulingkan kerajaan" seperti dilaporkan Mingguan Malaysia 4 Mac lalu.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 walau pendakwa memohon jumlah jaminan RM50,000.

Jika sabit kesalahan, Ezam boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.

Selain menghadapi beberapa perbicaraan atas kesalahan menyertai perhimpunan tanpa permit sejak 1999, bekas setiausaha politik bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihadapkan di mahkamah bagi perbicaraan di bawah Kanun Keseksaan berhubung pilihanraya kecil Lunas, Kedah tahun lalu dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung kertas siasatan terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Rafidah Aziz.