Para pemimpin parti komponen Cina dalam Barisan Nasional (BN) mengadakan mesyuarat keempat malam ini berhubung isu penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik.

Bagaimanapun, pemimpin parti-parti terbabit enggan memberi ulasan mengenai keputusan mesyuarat kira-kira dua jam, selepas menghadiri majlis makan malam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Mereka yang hadir pada malam ini ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik yang mempengerusikan mesyuarat tersebut. Yang lainnya ialah Presiden Gerakan, Datuk Seri Lim Kheng Yaik, Presiden SAPP, George Chan dan Presiden SUPP, Datuk Yong Teik Lee.

Parti Progresif Rakyat (PPP) pula diwakili Naib Presiden Kanannya, Datuk PC Low. Manakala Parti Liberal Demokratik (LDP) tidak menghadiri mesyuarat malam ini.

Mesyuarat malam ini menjadi tumpuan selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi ini mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri 15 komponen parti BN, selepas parti-parti terbabit gagal mencapai kata sepakat dalam mesyuarat membincangkan isu itu, Jumaat lalu.

Abdullah dilaporkan menasihati pemimpin tertinggi parti komponen Cina dalam BN yang mempunyai pendirian berbeza mengenai isu ini agar dapat menyelesaikan perkara tersebut sesama sendiri demi kebaikan parti.

Golongan ekstremis

Ketiadaan persetujuan dalam mesyuarat Jumaat lalu dianggap mengejutkan kerana parti-parti Cina dalam BN dijangka akur dengan penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, kerana desakan dari kerajaan.

Umno pula telah melabel golongan pendidikan Cina yang menentang dasar ini sebagai "ekstremis" manakala Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin, mengingatkan bahawa mereka yang menjuruskan perkara ini kepada perkauman, boleh diambil tindakan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Rabu lalu, menteri pendidikan menyatakan bahawa kerajaan akan meneruskan dasar pendidikan ini walaupun tanpa komitmen dari parti kaum Cina di dalam BN.

Seminggu sebelum itu, Musa berkata, Kabinet tidak akan membuat sebarang keputusan sehingga mendapat maklumbalas dari parti-parti yang mewakili kaum kedua terbesar di negara ini.

Dasar baru pendidikan yang dijadualkan bermula tahun depan ini telah mendapat tentangan dari kumpulan Cina, India dan Melayu, atas alasan ia boleh menjejaskan prestasi Sains dan Matematik, di samping menghakis bahasa ibunda masing-masing.

Sejajar dengan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan parti pembangkang meminta agar kerajaan tidak menggunakan ugutan ISA kepada mereka yang menyuarakan pandangan yang bertentangan.