GST tidak dibentang untuk bacaan kedua di Parlimen

   

Kerajaan nampaknya memerlukan lebih banyak masa apabila memutuskan untuk tidak membentangkan rang undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk bacaan kedua apabila Parlimen bersidang Isnin.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpul maklum balas dari rakyat.

    

"Ia (GST) tidak akan dibentangkan bagi bacaan kedua pada sesi (Parlimen) Mac/April kerana kita memerlukan lebih banyak masa untuk mendapatkan maklum balas dari orang ramai.

    

"Kami mahukan pendapat orang ramai mengenai GST," kata Husni selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur (DPMMKL) hari ini.

    

Rang undang-undang itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Parlimen Disember lepas.

    

Mengenai bila ia akan dibentangkan, Husni berkata: "Ia akan bergantung kepada perbincangan dengan orang ramai mengenai bagaimana rakyat melihat pelaksanaan GST itu. Jadi, kita tidak menetapkan satu tempoh masa mengenai perkara itu."

    

GST yang dicadang dikuatkuasakan pada suku ketiga tahun depan itu, bermatlamat untuk melebarkan asas cukai dan mengurangkan defisit negara.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda