PAS mengesyaki ada pihak-pihak tertentu yang sedang berusaha untuk membawa masuk 'pengundi hantu' dari Patani di selatan Thai ke kawasan Parlimen Sik di Kedah.

Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Sik, Datuk Shahnon Ahmad mendakwa, sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa pemimpin Umno dari Sik yang sering melawat Selatan Thai, dan pihaknya mengesyaki ianya ada kaitan dengan dakwaan tersebut.

Katanya, isu pengundi hantu dari Patani kini menjadi tajuk hangat perbualan di kawasan parlimen berkenaan dan pihaknya sedang memantau secara dekat perkara itu.

Kawasan Parlimen Sik mengandungi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenari dan Belantik kedua-duanya dimenangi oleh calon PAS. Calon PAS, Mohd Isa Shafie di Belantek dengan 492 undi manakala calon PAS di Jeneri, Yahya Abdullah menang 393 undi.

Selain itu, katanya, proses persempadanan semua kawasan pilihanraya, khususnya di Parlimen Sik, jelas memperlihatkan usaha untuk memperkuatkan kedudukan Umno di kawasan Dewan Undangan Negeri Belantek.

"Peti undi bagi kawasan Telui Kanan dan Tupai, yang sebelum ini dalam DUN Jeneri, sekarang diubah dan dimasukkan ke DUN Belantek. Telui Kanan dan Tupai merupakan kubu kuat Umno. Mungkin Umno mahu mengambil balik DUN Belantek," katanya kepada malaysiakini .

Bagaimanapun, Shahnon tidak begitu bimbang dengan perkembangan itu kerana jumlah cawangan PAS di kawasan Sik juga sudah bertambah daripada 83 kepada lebih 90 buah sekarang.

Pertahan kerusi

Katanya, ini jelas menunjukkan bahawa sokongan rakyat kepada PAS di Sik semakin bertambah dan yakin parti mampu mempertahankan Parlimen Sik dalam pilihanraya umum akan datang.

Malah, Shahnon juga bersedia mempertahankan kerusi tersebut sekiranya beliau terus diberi kepercayaan untuk berbuat demikian oleh pucuk pimpinan PAS.

Tidak seperti yang sering dilaporkan, Shahnon berkata, kesihatan beliau adalah baik, dan berupaya menjalankan tugasnya sebagai ahli Parlimen kepada penduduk tempatan.

Pada pilihanraya umum 1999, Sik mempunyai 33,070 pengundi dengan 92.31 peratus daripadanya Melayu, Cina (2.15%), India (0.14%), lain-lain, kebanyakannya pengundi berbangsa Siam (5.38 peratus).

Shahnon memperolehi 13,211 undi untuk menewaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Abdul Hamid Othman dengan 335 undi. Sejumlah 27,209 atau 82.32 peratus pengundi keluar mengundi dalam pilihanraya umum itu.

Menurut Shahnon lagi, kempen Umno sekarang banyak tertumpu kepada usaha untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi Cina dan masyarakat Siam.

"Inilah yang dilakukan oleh Umno sewaktu pilihanraya kecil Pendang baru-baru ini, dengan berusaha untuk mendapatkan undi orang Cina dan Siam untuk memang. Memang pengundi Cina dan Siam ramai yang sokong kerajaan.

Bagaimanapun, memandangkan peratus pengundi Melayu di Sik yang melebih 90 peratus, kami tidak begitu bimbang kerana majoriti daripada mereka menyokong PAS," tegasnya.