Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Undang-Undang Universiti Teknoloji Mara (UiTM) untuk tempoh dua tahun mulai 15 Feb lalu.

Dekan fakulti itu Prof Madya Saudah Sulaiman berkata pihak fakulti amat berbesar hati di atas persetujuan Zaki untuk menerima pelantikan itu.

zaki azmi chief justice installation event 291008 01 "Ini memandangkan julung kalinya seorang Ketua Hakim Negara, yang mengetuai badan perundangan tertinggi negara, dilantik menjadi Profesor Adjung di Fakulti Undang-Undang UiTM, " katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Saudah berkata sebagai Profesor Adjung, Zaki ( kiri ) akan mengadakan syarahan umum bertajuk 'Isu dan Cabaran Dalam Profesion Perundangan' buat pertama kali pada Jumaat ini.    

Syarahan umum itu akan diadakan di Auditorium Bangunan Cempaka 1, Fakulti Undang-Undang UiTM, Shah, Alam, pada pukul 3 petang.

Zaki, 64, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Okt 2008 dan beliau merupakan pengerusi pertama bagi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sejak penubuhannya pada 16 Feb 2009.

Beliau dilahirkan pada 12 Sept 1945 di Alor Setar, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Sekolah Anderson, Ipoh dan English College, Johor Baharu.

Pada 1969, beliau telah melanjutkan pengajian di Lincoln's Inn, London dan dianugerahkan Barrister-at-Law.

- Bernama