Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyifatkan laporan dalam media perdana yang mengkritik pendirian persatuan itu berhubung kenyataan Mursyidur Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang didakwa menyifatkan tuhan itu 'samseng', tidak mencerminkan pandangan majoriti umat Islam di negara ini.

Malah, kata Presiden PUM, Ustaz Abdul Ghani Othman, sejak tercetuskan isu itu, beliau menerima banyak jemputan untuk menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh umat Islam yang ingin mengetahui kedudukan sebenarnya mengenai perkara itu.

"Setakat ini, mereka yang menghadiri majlis ceramah yang saya hadiri, berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan, dan sedar bahawa kecaman terhadap Nik Aziz itu dibuat di luar kontek sebenar ucapannya," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Abdul Ghani berkata, salah satu jemputan yang diterimanya ialah dari Kubang Pasu, yang merupakan kawasan Parlimen Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

PUM menerima kritikan hebat apabila persatuan itu dikatakan mengeluarkan kenyataan membela tindakan Nik Aziz, yang juga menteri besar Kelantan, yang didakwa menyifatkan tuhan bersifat 'samseng".

Dalam kenyataan itu, Abdul Ghani menjelaskan huraian dan tafsiran yang dibuat oleh ulama hendaklah difahami menurut motif dan konteks pengucapan dan ditanggapi dengan jujur.

Katanya, di dalam al-Quran terdapat gaya pengucapan yang disebutkan musyakalah, iaitu suatu cara gaya menangkis dengan tempelakan yang meminjam istilah lawan, tanpa bermaksud untuk memberi makna yang sama dengan istilah tersebut tetapi hanyalah sekadar untuk mematahkan hujah lawan.

Tunjuk isyarat lucah

Oleh itu, jelas Abdul Ghani, adalah tidak menjadi kesalahan jika mana-mana ulama mengatakan dalam konteks itu untuk menjelaskan bahawa Allah lebih samseng dari segala samseng bagi menimbulkan keinsafan tentang martabat manusia dan kudrat mereka yang amat terbatas berbanding dengan Allah, tanpa niat menghina dan menjatuhkan Allah.

Mengulas lanjut mengenainya, beliau berkata, PUM sudah 'lali' dengan tindak-tanduk ahli-ahli politik kerajaan dan media perdana yang tidak putus-putus menghentam PUM yang mereka dakwa menjadi kuda tunggangan PAS.

"Kalau kita diam, mereka kata kita bacul. Apabila kita membuat kenyataan secara objektif, mereka katakan pula semuanya bertujuan untuk menyokong perjuangan politik parti pembangkang (PAS)," katanya.

"Macama mana pula dengan seorang menteri besar yang menunjukkan isyarat lucah. Dalam hal ini, mereka katakan pula, ianya bergantung kepada niat orang yang melakukannya," katanya merujuk kepada peristiwa Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong PAS sewaktu pilihanraya kecil Sanggang pada tahun 2000.

"Tetapi apabila ia membabitkan tok guru (Nik Aziz) yang sudah lama mengajar ilmu Allah, ianya terus diberi tanggapan negatif...mengapa tidak tanya terlebih dahulu niatnya, sebelum membuat tuduhan melulu terhadapnya," tegas Abdul Ghani.

Oleh itu, katanya, jelas bahawa pandangan mereka tidak dibuat secara objektif, tidak ilmiah, tidak rasional dan tidak berasaskan kepada realiti.