Kesediaan 7,000 pelajar Malaysia keturunan Cina dari negeri-negeri di selatan tanahair melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah aliran Inggeris di Singapura, menunjukkan ramai yang bersetuju dengan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir.

"Itu menunjukkan ada di kalangan masyarakat Cina yang bersetuju (dengan dasar kerajaan untuk menggunakan bahasa Inggeris di sekolah) dan ada yang tidak bersetuju," katanya.

Bagaimanapun, golongan ini tidak menyatakan pendirian mereka secara terbuka, kata Dr Mahathir dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Simposium Generasi Kedua Felda di Universiti Islam Antarabangsa, hari ini.

Bagaimanapun, perdana menteri tidak menjawab apabila diminta mengulas mengenai maklumbalas yang diperolehinya dari pemimpin parti komponen Cina dalam Barisan Nasional, setakat ini, mengenai isu penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan mengenai kebanjiran pelajar keturunan Cina dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang melanjutkan pelajaran mereka di sekolah beraliran Inggeris di republik itu.

Akhbar itu memetik Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim, sebagai berkata, pelajar tersebut lebih minat belajar dalam bahasa Inggeris berbanding dengan Mandarin.

Suhaimi juga dilaporkan sebagai berkata cuma pertubuhan pelampau sahaja yang menentangnya kerana menurutnya, mereka mempunyai helah tertentu.'

Sebelum ini, pergerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong, yang menentang dasar baru pendidikan itu, telah dilabelkan sebagai "ekstremis" oleh Pemuda Umno.

Bagaimanapun, apabila parti komponen BN, Gerakan, turut menolak dasar itu, Pemuda Umno berkata pihaknya menerima alasan parti itu kerana ia melihat isu tersebut dari sudut pendidikan semata-mata.

Tindakan undang-undang

Semalam, perdana menteri menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memainkan isu perkauman berhubung penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang mendakwa kerajaan berhajat menukar sekolah jenis kebangsaan Cina kepada sekolah kebangsaan atau membuat dakwaan begitu, sedangkan ada undang-undang yang menghalang kerajaan dan Menteri Pendidikan daripada berbuat demikian.

Semalam, Dr Mahathir berkata kerajaan tetap akan melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris mulai tahun depan "tetapi bagaimana ia akan dilaksanakan akan ditentukan kemudian".

Bagaimanapun, selain Dong Jiao Zong, lebih 20 pertubuhan yang dianggotai pendidik, ahli bahasa dan penulis dari kaum Melayu dan Cina, juga telah menghantar satu rayuan kepada Dr Mahathir meminta kerajaan menggugurkan cadangan itu.

Antara persatuan Melayu yang turut menandatangi surat rayuan itu ialah Gapena, Pena, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Persatuan Suluh Budiman dan Persatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Berikutan itu, parti-parti pembangkang dalam Barisan Alternatif (BA) merancang untuk melancarkan kempen penerangan mengenai isu bahasa Inggeris itu ke seluruh negara bagi menerangkan mengapa mereka menentang pelaksanaannya.