Khazanah, KWSP diarah lupuskan ekuiti dalam GLC
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan sudah mengarahkan Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya mempercepatkan langkah melupuskan pegangan ekuiti di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menjadikan pasaran modal lebih menarik bagi para pengurus dana.
"Kita telah berbuat demikian tetapi kita perlu mengambil langkah yang lebih lanjut lagi untuk mengurangkan pegangan kerajaan dan saya telah mengarahkan Khazanah dan KWSP untuk mengambil langkah yang wajar.
"KWSP khususnya mempunyai dana yang besar, sehinggakan mereka perlu mencari bidang yang boleh dilabur dana berkenaan dan mendapatkan pulangan bagi ahli mereka," katanya sebelum berlepas pulang ke tanahair selepas menghadiri Persidangan Pelaburan Asia Credit Suisse di Hong Kong.
Bagaimanapun, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pengurangan pegangan di dalam GLC oleh cabang pelaburan kerajaan itu dan KWSP tidak akan menjejaskan kepentingan negara kerana ia dilindungi melalui pegangan saham emas di dalam pelaburan strategik serta pemantauan oleh pengawal atur mengenai apa yang dilakukan oleh syarikat berkenaan.
"Kepentingan negara kita tetap terpelihara terutama sekali dalam bidang yang penting dan strategik (dan) kita tak semestinya memegang terlalu tinggi untuk memasuki sesebuah syarikat," katanya.
Penganalisis berkata usaha berterusan untuk mengurangkan pegangan kerajaan akan menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa yang akan membawa masuk nilai tambah kepada pegangan saham korporat serta menjadikan Bursa Malaysia lebih menarik kepada para pengurus dana asing.
Ia akan turut meningkatkan kecairan yang dipacu sektor swasta di bursa melalui pengurangan penyertaan kerajaan dan di dalam proses itu akan meningkatkan kepelbagaian pelaburan, khususnya dari dana asing.
- Bernama

