Kerajaan negeri Perak mungkin mengkaji balik pelaburannya di Indonesia jika sentimen anti-Malaysia di Indonesia bertambah buruk, kata Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini.

Agensi berita nasional, Bernama memetik beliau sebagai berkata Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak terlibat dalam sektor perladangan di Sumatera dan kini dalam proses pembinaan kilang memproses kelapa sawit.

"Hanya pengurusan dari Perak berada di sana manakala pekerjanya adalah rakyat Indonesia. Kita akan lihat dulu keadaan sebelum mengambil keputusan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan negeri akan meminta kakitangannya dan penduduk negeri ini mengikut nasihat kerajaan pusat agar tidak melawat Indonesia terutamanya ke Medan, destinasi pelancongan negara itu yang agak popular di kalangan rakyat.

Kerajaan negeri bagaimanapun, belum berhasrat mengeluarkan arahan melarang kakitangan kerajaan berkunjung ke sana tetapi akan berbuat demikian jika ada arahan sebegitu dari Putrajaya, katanya.

Sentimen anti-Malaysia

Beliau berkata demikian ketika mengulas sentimen anti-Malaysia di Indonesia dan tindakan sekumpulan warga Indonesia yang menggelarkan diri mereka Laskar Merah Putih yang membakar bendera Malaysia di hadapan kedutaan Malaysia di Jakarta dua hari lepas.

Tajol Rosli berkata, seboleh-bolehnya orang ramai harus mengelak dari pergi ke sana kecuali atas urusan yang tidak boleh ditangguhkan, misalnya melawat anak mereka yang belajar di sana.

Isnin lalu, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak melawat Indonesia berikutan menularnya sentimen anti-Malaysia di kalangan rakyat Indonesia apabila media cetak dan penyiaran republik itu memainkan isu penghantaran pulang pendatang izin dari negara ini.

Ini berikutan laporan di mana 19 pelancong Malaysia yang ditahan oleh polis Indonesia di Medan Jumaat lalu kerana dikatakan tidak membawa pasport, turut dimaki-hamun.

Syed Hamid berkata perasaan itu menular kerana ahli politik di republik itu mengapi-apikan sentimen rakyat, selain media Indonesia tidak memberitahu perkara sebenar mengenai penghantaran pulang pendatang terbabit.