Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat bukan sahaja bersedia untuk membela dirinya berhubung kenyataannya "Allah samseng" sekiranya didakwa di mahkamah, malahan akan menjadikannya sebagai medan untuk berdakwah.

Malah, Mursyidul Am PAS itu berkata, beliau akan menggunakan peluang itu untuk turut berdakwah mengenai Islam di mahkamah.

Dalam kenyataannya semalam Nik Aziz berkata: "Saya dengan izin Allah Taala telah lama berdakwah dalam Parlimen, Dewan Undangan Negeri, masjid, surau, di tempat awam, di rumah dan bangunan persendirian."

Oleh itu, katanya, tiada sebab kenapa beliau tidak boleh turut berceramah di mahkamah, sekiranya ada dakwaan dibuat terhadapnya.

"Insya-Allah, saya akan terjemahkan firman Allah 'Al Jabbar' dan 'Al Mutakabbir' dalam kes Allah samseng (seperti yang digembar-gemburkan oleh media)," katanya.

Selain itu, katanya, beliau akan turut berpeluang membawa ke mahkamah pihak yang selalu mengeluarkan kata-kata yang dianggap bercanggah dengan Islam iaitu "Islam lain, politik lain. Islam tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana masyarakat majmuk dan sebagainya."

Kenyataan ini dikeluarkan sebagai reaksi terhadap laporan muka depan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia , Rabu ini yang menyatakan Nik Aziz boleh didakwa di mahkamah sekiranya ada laporan polis dibuat terhadapnya.

Akhbar itu memetik kenyataan bekas Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Harun Mahmud Hashim, yang berkata tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Nik Aziz sekiranya ada laporan polis dibuat.

Kenyataan Nik Aziz "bahawa Allah juga samseng" di dalam satu ceramahnya yang kerap ditayangkan oleh RTM, telah mencetuskan kontroversi sehinggakan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Nik Aziz dan pengikutnya bakal masuk neraka.

Beberapa pemimpin Umno lain turut meminta Nik Aziz agar "bertaubat" kerana mengeluarkan kenyataan seperti itu.