Orang ramai berpeluang menyaksi dan menilai sendiri ucapan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang mengaitkan Allah dengan samseng, yang disiarkan oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dalam Berita Perdana malam esok.

Bagaimanapun, PAS menyifatkan langkah RTM hanya "sia-sia" selagi ianya tidak menyiarkan sepenuhnya ucapan Nik Aziz yang juga mursyidul Am PAS, mengenai perkara itu.

Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, dalam kenyataan hari ini, berkata klip video itu tidak akan menyiarkan perkara-perkara lain yang disentuh Nik Aziz, kecuali dalam kontek tafsirannya mengenai Allah sebagai samseng.

Menurutnya, ucapan Nik Aziz itu berasaskan kepada video cakera padat (VCD) yang diedarkan di pasaran yang mengandungi ucapan pemimpin-pemimpin PAS di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di Kota Bharu.

Selain Nik Aziz, katanya, turut berucap pada majlis yang sama ialah Bunyamin Yaakob yang menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menonton gambar lucah dan Abdul Razak Abas mengenai Memali.

PAS cabar Zam

Abdul Razak didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar baru-baru ini kerana dituduh menyelak kain kepada petugas wanita Umno sewaktu pilihanraya kecil Anak Bukit bulan lalu.

"Dalam klip video ini juga, Datuk Nik Aziz menyatakan bahawa kerana kepercayaan kepada tafsiran itulah maka orang Melayu sokong PAS dan orang Melayu yang sokong PAS tidak jahat," katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa sekali lagi mengulangi cabaran PAS supaya RTM menyiarkan sepenuhnya ucapan Nik Aziz di RTM supaya rakyat dapat menilai sendiri mengenai isu 'Allah samseng' itu.

"PAS sudah mencabarnya supaya siarkan sepenuhnya ucapan Tok Guru. Mengapa pula disiarkan sekerat-kerat. Ini bermakna dia tidak berani menyiarkan fakta sebenarnya mengenai isu terbabit," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Tindakan RTM itu juga, katanya, bukan sahaja menunjukkan cetak fahaman Zainuddin berhubung perkara itu, malah jelas maksud sebenarnya ialah memperalatkan RTM untuk memutarbelitkan isu tersebut.

Propaganda politik

"Bagi saya, ianya lebih merupakan satu lagi propaganda politik yang tidak membawa apa-apa keuntungan kepada mereka," katanya.

Semalam Nik Aziz berkata, beliau bukan sahaja bersedia untuk membela dirinya berhubung kenyataannya "Allah samseng" sekiranya didakwa di mahkamah, malahan akan menjadikannya sebagai medan untuk berdakwah.

Malah, katanya, beliau akan menggunakan peluang itu untuk turut berdakwah mengenai Islam di mahkamah.

Katanya, beliau telah lama berdakwah dalam Parlimen, Dewan Undangan Negeri, masjid, surau, di tempat awam, di rumah dan bangunan persendirian.

Oleh itu, katanya, tiada sebab kenapa beliau tidak boleh turut berceramah di mahkamah, sekiranya ada dakwaan dibuat terhadapnya.