Malaysiakini BERITA

Pakatan akui sukar pertahan Hulu S'gor

Salhan K Ahmad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad sudah lama menderita akibat kanser dan telah menjalani tiga pembedahan sebelum ini, kata ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Himpunan Selamatkan Malaysia di Hulu Selangor malam semalam.

pkr gathering in hulu selangor 260310 crowd 03 Pendedahannya itu sekali gus mengesahkan bahawa kerusi parlimen yang disandang allahyarham telah lama diketahui berada dalam keadaan 'tenat.'

BN telahpun mendahului Pakatan dalam menjalankan usaha untuk merampas semula kerusi tersebut, yang dimenangi PKR dalam pilihan raya umum 2008.

BN memilih Bukit Sentosa sebagai tapak untuk melancarkan program Juara Rakyat pada awal tahun ini, manakala Pakatan pula baru berkira-kira untuk melancarkan Himpunan Selamatkan Malaysia sejak beberapa hari lalu.

"Dan dalam tempoh itulah Datuk Zainal meninggalkan kita," kata bendahari pusat PAS Dr Hatta Ramli pada ucapannya terdahulu.

Tambahnya, program pelancaran pada malam semalam itu sebenarnya telah dirancang sejak lebih dua hari lalu.

Namun pada malam semalam terpaksa ditukar kepada acara belasungkawa untuk memperingati Allahyarham yang meninggalkan jasa paling besar dengan memenangi kerusi itu.

pkr gathering in hulu selangor 260310 crowd "Sejak merdeka PAS tidak pernah tidak bertanding di kerusi ini tapi tidak pernah menang.

"Tapi pada 2008 Datuk Zainal berjaya buat keputusan upset dengan mengalahkan G Palanivel.

"Tiada orang yang boleh buat sebelum ini, tapi Datuk Zainal boleh buat," katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga yakin Pakatan akan dapat mengekalkan kerusi itu walaupun BN juga tampak selesa dengan kemampuan mereka kali ini.

"Muhyiddin kata mereka ada banyak senjata untuk lawan kita. Dia tidak sebut senjata apa, jangan (bom) C4 sudahlah," katanya yang cuba berjenaka.

Pengunjung yang memenuhi lebih separuh daripada ruang di Stadium Mini Kuala Kubu Baru itu bagaimanapun nampaknya masih belum bersedia memberikan tindakbalas  kepada modal ceramah pilihanraya seperti itu.

Hanya beberapa orang yang memakai baju parti yang ketawa dan bersorak.

Tidak pkr gathering in hulu selangor 260310 02 berputus asa, Hatta terus menguji hadirin dengan membangkitkan isu keselamatan dalam negara.

Beliau menyebut pendedahan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan mengenai dakwaan wujudnya 'pihak ketiga' dalam mengatur selia PDRM.

Turut dibangkitkannya ialah peranan syarikat Apco Inc, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan gerakan Zionis,  sebagai salah sebuah perunding kepada negara.

Selain Hatta, program ceramah berkenaan turut membariskan tiga pemimpin Pakatan dalam kerajaan Selangor -- Adun Bukit Tunku Lau Weng San, exco Azmin Ali dan juga menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Umumnya, ketiga-tiga mereka menggariskan pencapaian oleh kerajaan negeri dan juga bantuan serta kemudahan yang disediakan kepada rakyat.

pkr gathering in hulu selangor 260310 anwar 03 Mereka juga menjual mesej yang sama - kerajaan Selangor kini berkhidmat kepada rakyat tanpa mengenal kaum dan warna kulit dan pentadbiran baru ini lebih baik daripada yang terdahulu.

"Tan Sri Khalid tak buat mahligai (bernilai) RM24 juta macam kawan kita itu," kata Azmin dalam ucapannya, yang jelas disasarkan kepada pemimpin Umno.

Pada itu, beliau turut menyenaraikan beberapa peruntukan khas yang disalurkan Selangor kepada setiap golongan kaum.

pakatan kkb talks anwar and crowd Khalid Ibrahim dalam ucapannya pula berkata antara pencapaian utama sepanjang 750 hari beliau menjadi menteri besar ialah bekalan air percuma yang diberikan kepada seluruh warga negeri itu.

"Umno dan BN tidak terfikir tentang air percuma sebab tidak fikirkan rakyat.

"Umno bagi hutang tapi tak kutip. Boleh jadi juga dah kutip tapi kutip untuk poket dia," katanya lagi.

Bagaimanapun, tarikan utama hadirin kemudiannya tetap tertumpu kepada Anwar Ibrahim yang mengolah semula idea-idea yang ditanam oleh penceramah sebelumnya.

Malah, jenakanya tentang pesawat pejuang yang kehilangan enjin dan kapal selam yang gagal menyelam juga lebih berkesan berbanding cubaan sebelum itu oleh Dr Hatta Ramli.

pkr gathering in hulu selangor 260310 anwar Acara malam semalam menjadi pembuka tirai kepada pilihan raya kecil yang bakal diadakan bagi Hulu Selangor.

Kesannya masih terlalu awal untuk diteka. Kehadiran sekitar 5,000 di ceramah tersebut jauh lebih kecil berbanding kira-kira 10,000 yang hadir di program Juara Rakyat pada 9 Januari lalu.

BN juga dilihat berada dalam kedudukan lebih selesa, berbanding Pakatan. Sejak sebulan yang lalu, tiga ahli parlimen PKR berpaling tadah dan seorang lagi pula dengan rela hati dipecat daripada parti itu.

Namun, menurut Azmin Ali: “Angka bukan segalanya, tapi kita perlu angkat perjuangan rakyat.

Kita tunggu angka yang sebenarnya masuk ke dalam peti undi.”