Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan suami yang sengaja meninggalkan isteri tanpa memberi nafkah dikenakan hukuman sebat, terutama yang sengaja meninggalkan isteri yang sedang mengandung.

"Mereka patut dijatuhkan hukuman sebat empat...lima rotan,", katanya semasa menyampaikan kuliah di Pejabat Pas di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, tindakan sesetengah suami yang meninggalkan isteri tanpa nafkah sewenang-wenangnya tanpa "khabar berita" dalam tempoh lama telah menyebabkan isteri menderita menanggung beban hidup sendirian.

Cadangan Nik Aziz itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada Badan Bertindak Wanita Malaysia (Awam), yang menyifatkannya sebagai hukuman yang kejam.

"Walaupun tindakan perlu dikenakan ke atas lelaki yang tidak bertanggungjawab tetapi hukuman sebatan bukanlah jalan penyelesaian yang baik," kata pengurus perancangan dan pentadbiran Badan Bertindak Wanita Malaysia (Awam), Manohari Subramaniam.

Gimik politik

"Kami tidak menyokong hukuman sebatan kerana ianya adakah satu hukuman yang kejam. Adalah lebih baik jika mereka diterapkan kesedaran tentang pentingnya tanggungjawab kepada anak isteri," katanya.

Beliau juga berkata, jika suami masih enggan bertanggungjawab, hukuman penjara patut dikenakan terhadap mereka.

Sementara itu, ketua biro agama Pemuda Umno, Shamsul Najmi Shamsuddin juga mempertikai cadangan itu dan menyifatkannya sebagai 'gimik' semata-mata.

Beliau berkata sebagai saudara sesama Islam, beliau memberi nasihat kepada Nik Aziz supaya jangan membuat apa-apa kenyataan yang di luar bidangnya pada masa yang akan datang.

"Saya rasa lebih baiklah Datuk Nik Aziz berdakwah dan memberi tunjuk ajar di dalam bidangnya sebagai tok guru. Dia sepatutnya berdakwah kepada kaum lelaki supaya jangan mengabaikan tanggungjawab kepada isteri masing-masing.

Program dakwah

"Lagipun lelaki yang selalu berpoligami kebanyakannya berasal dari Kelantan - mengikut stattistiknyalah," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Beliau juga berkata lelaki-lelaki yang didapati mengabaikan tanggungjawab mereka tidak boleh terus dihukum dan sepatutnya diberi tarbiyyah supaya jangan melakukannya lagi.

"Adalah lebih berkesan jika Datuk Nik Aziz lebih menganjurkan program-program dakwah ke arah membentuk masyarakat penyayang," katanya.

Nik Aziz mengesyorkan hukuman itu kerana Kelantan yang dikenali sebagai "Serambi Mekah" mempunyai banyak masalah rumah tangga termasuk ramai isteri yang ditinggalkan tanpa nafkah oleh suami yang tidak bertanggungjawab.

"Sebab itu ambo (saya) suka benar hukuman rotan dikenakan terhadap mereka sebagai pengajaran", katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, berkata cadangan Nik Aziz itu boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan, tetapi ianya perlu dilakukan dalam bentuk pengajaran.

Beliau berkata, ianya sesuai sekiranya pengingkiran suami terhadap isteri telah sampai ke tahap yang membimbangkan.

"Tidak dapat dinafikan, nafkah zahir dan batin boleh menjamin kebahagian rumahtangga. Lebih serius lagi, jika nafkah batin dinafikan, ia boleh menjerumuskan pihak isteri kepada perkara-perkara negatif seperti zina," katanya.