Kg Medan: BA gesa Mahathir disiasat
Ketua Polis Negara digesa menyiasat Perdana Menteri yang mendakwa pergaduhan di Taman Medan, Selangor sebagai usaha "menggulingkan kerajaan dengan cara menghasut orang miskin untuk mencetuskan bantahan."
Dalam laporan Utusan Malaysia 16 Mac lalu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad turut berkata pihak tertentu dan dipercayai mempunyai kaitan dengan pembangkang sengaja membesar-besarkan cerita kononnya beratus-ratus orang Melayu telah dibunuh supaya kaum itu marah.
Khabar angin seumpama itu juga mungkin turut disebarkan di kalangan orang India, kata Perdana Menteri lagi seperti dilaporkan.
Bagaimanapun pembangkang menafikan khabar seperti itu pernah disebarkan.
"Kami tidak pernah mendengar bahawa ada berita angin kononnya beratus-ratus orang Melayu dan India telah dibunuh. Mungkin Dr Mahathir mempunyai bukti mengenainya. Jika tidak (ada bukti), beliau tidak akan menyatakannya demikian kepada media," kata pakatan pembangkang dalam satu kenyataan hari ini.
"Sekiranya bukti tidak ada, ternyata Dr Mahathir sengaja menggunakan media untuk menyebarkan berita palsu. (Perkara) ini perlu disiasat."
Barisan Alternatif menggesa Ketua Polis Negara bertindak secara profesional, adil dan tidak berat sebelah.
"Sekiranya polis bertindak hanya ke atas kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang dan tidak (menyiasat) kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin parti kerajaan, maka kepercayaan dan penghormatan rakyat terhadap polis akan semakin hilang," kata kenyataan itu lagi, ditandatangani oleh Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Rakyat Malaysia Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock.
Menurut mereka, Dr Mahathir sejak beberapa hari lalu berulang kali mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut dan mendapat liputan meluas dalam media. Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri dan polis melarang orang ramai menyebarkan khabar angin, kata pembangkang lagi.
BA turut menyatakan mereka memandang serius kenyataan Perdana Menteri itu seperti dilaporkan akhbar-akhbar The Star dan The Sun , selain Utusan Malaysia Jumaat lalu.
Pembangkang juga mendesak suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat pergaduhan yang mengorbankan enam orang, berpuluh-puluh lagi cedera dan 190 orang ditangkap sejak 9 Mac lalu.
Kerajaan berubah sikap
Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang menggesa Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka kerana cuba menyifatkan pergaduhan itu berunsur perkauman.
Lim juga mendakwa kerajaan telah berubah sikap apabila memberikan ulasan berhubung kejadian di Taman Medan itu.
"Pada enam hari pertama pergaduhan di Taman Medan, Perdana Menteri dan timbalannya (dan juga Menteri Dalam Negeri) Abdullah Ahmad Badawi telah berkali-kali menekankan bahawa pergaduhan itu tidak berbentuk perkauman dan hanyalah pergaduhan kecil yang diperbesar-besarkan," katanya.
Tambahnya, dua hari kemudian semasa bercakap kepada wartawan di Kulim, Timbalan Menteri Dalam Negeri Zainal Abidin Zin menyifatkan pergaduhan itu sebagai "pergaduhan perkauman."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.