Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tidak menafikan kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu pemberimilikan tanah kepada Orang Asli.

Menteri berkenaan Datuk Seri Shafie Apdal berkata kerana itu kementerian mengambil beberapa pendekatan antaranya perubahan pada Akta Orang Asli untuk menyusun semuala agar ia lebih wajar dalam memenuhi keperluan Orang Asli.

orang asli protest in putrajaya 170310 "Sebab itu kita adakan jawatankuasa 'kumpulan sasar' yang turut disertai pakar-pakar Orang Asli untuk memastikan suara mereka didengari," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) mengenai kemungkinan terdapat hasutan daripada pihak luar berhubung isu pemberimilikan tanah Orang Asli itu.

orang asli protest putrajaya Shafie berkata setakat ini kementerian masih membincangkan permintaan pemberimilikan tanah Orang Asli termasuk yang membabitkan tanah rezab Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara), rezab sungai, rezab hutan dan rezab pantai.

Sementara itu, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sentiasa bekerjasama dengan negara jiran Indonesia dan Thailand bagi mencapai persefahaman mengenai kesamaan budaya dan tradisi.

Timbalan Menteri berkenaan Heng Seai Kee berkata memandangkan kedua-dua negara itu merupakan jiran terdekat, maka tidak boleh dielak daripada wujudnya persamaan dari aspek tradisi dan kebudayaan.

"Kerjasama persefahaman terjalin dengan agensi-agensi kebudayaan di kedua-dua negara itu juga untuk memastikan tradisi dan budaya itu tidak terus hilang," katanya menjawab soalan Datuk Jidin Shafee (BN-Setiu) mengenai perkara itu.

- Bernama