Tabung Haji sasar untung RM1 bilion tahun ini
Lembaga Tabung Haji mensasarkan keuntungan selepas zakat RM1 bilion tahun ini dan yakin dapat mengekalkan prestasinya seperti sebelum ini.
Pengerusinya Tan Sri Abi Musa Asa''ari Mohamed Nor, berkata untuk tiga tahun berturut-turut, Tabung Haji berjaya meraih keuntungan selepas zakat sebanyak RM1 bilion.
"Ia satu pencapaian dan prestasi yang cukup baik, Tabung Haji sentiasa berusaha untuk mengekalkan prestasi ini dan faedahnya akan dikongsi bersama pendeposit yang kami ada sekarang," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan media di Tabung Haji di Georgetown hari ini.
Abi Musa Asa''ari berkata jumlah keseluruhan zakat yang dikeluarkan Tabung Haji bagi 2009 ialah RM33.9 juta.
Dalam menggalakkan budaya menyimpan di kalangan kanak-kanak, beliau berkata Tabung Haji bekerjasama dengan pihak sekolah menerusi Kelab Taha.
"Sekarang ramai orang mula sedar kepentingan menyimpan duit, dan ramai pendeposit di Tabung Haji bukan semata-mata menyimpan duit untuk pergi haji tetapi bagi kegunaan ketika kecemasan," katanya.
- Bernama

