Zahid minta isu Ahmad Ismail ditutup
Naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta supaya isu melibatkan Datuk Ahmad Ismail ditutup serta meminta media berbahasa Cina tidak lagi meneruskan spekulasi di sebalik kemasukan semula bekas ketua bahagian Bukit Bendera ke bahagian itu.
Beliau yang juga pengerusi perhubungan Umno Pulau Pinang turut menafikan satu laporan disiarkan sebuah radio berbahasa Cina yang menyebut beliau menyokong satu kenyataan Ahmad yang meminta parti Gerakan Pulau Pinang supaya meminta maaf.
"Saya tidak pernah ada buat kenyataan sokong Datuk Ahmad Ismail minta Gerakan Pulau Pinang atau Gerakan Malaysia supaya minta maaf. Itu hanya tanggapan dalam laporan itu," katanya lagi.
Ahmad sebelum ini digantung daripada Umno selama tiga tahun selepas mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan masyarakat Cina sebagai "pendatang" dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2008.
Penggantungannya ditarik semula pada Disember tahun lalu.
"Saya minta kes itu ditutup," kata Zahid Hamidi lagi ketika bercakap kepada pemberita di bangunan parlimen hari ini.
Tambahnya, kemasukan semula Ahmad akan dibuat mengikut prosedur, susulan peletakan jawatan oleh 36 anggota jawatankuasa bahagaian tersebut awal minggu ini.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan perlu mengemukakan cadangan kepada jawatankuasa pengurusan Umno untuk mengadakan pemilihan baru dan perkara itu kemudiannya akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi.
Surat peletakan jawatan
Sementara itu, Bernama melaporkan Ahmad Zahid berkata, badan perhubungan Umno Pulau Pinang hari ini menerima surat peletakan jawatan 36 ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Bukit Bendera bagi memberi laluan pemilihan baru bahagian itu.
Katanya, perkara itu akan dibawa kepada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebelum dibawa kepada
jawatankuasa pengurusan Umno dan Majlis Tertinggi (MT) Umno.
"Majlis Tertinggi Umno akan memutuskan perkara itu dalam masa terdekat," kata Zahid yang juga menteri pertahanan.
Ditanya adakah tindakan AJK Umno Bukit Bendera itu kerana desakan pihak luar, Zahid berkata tiada desakan daripada mana-mana pihak termasuk pihak atasan.
Fasal 15.8 Perlembagaan Umno menyebut jika AJK Umno bahagian berhenti serentak, Majlis Tertinggi Umno akan mengarahkan mesyuarat perwakilan khas bahagian diadakan untuk menubuhkan semula jawatankuasa bahagian itu dan menentukan tempoh perkhidmatannya.

