Isteri bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, Puan Sri Azizah Abdul Hamid, meninggal dunia akibat barah hati di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di Alor Star kira-kira pukul 9 malam semalam.

Allahyarham Azizah berusia 65 tahun.

Osman berkata isterinya dimasukkan ke HSB dua bulan lepas selepas mengadu buang air besar berdarah dan doktor mengesahkan arwah mengalami masalah usus dan perlu menjalani pembedahan segera.

"Semasa menerima rawatan di HSB, doktor telah mengesahkan isteri saya dijangkiti barah hati peringkat empat dan rawatan boleh dilakukan selepas luka di tempat pembedahan sembuh," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Alor Star hari ini.

Osman berkata Allahyarham turut menghidap penyakit kencing manis.

"Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Sultanah kira-kira pukul 1.30 petang dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kelubi, Jitra selepas Zohor," katanya.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak iaitu Jeffril, Rizal, Ileana dan Adzmin.

- Bernama