BERITA

Gerabak keretapi berasingan untuk lelaki, wanita

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Mac 2010, 11:19 tengahari

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bercadang untuk mewujudkan gerabak berasingan untuk penumpang lelaki dan wanita bagi perkhidmatan komuternya dalam usaha meningkatkan keselesaan para penumpangnya.

Presiden KTMB Aminuddin Adnan berkata tinjauan yang dijalankan oleh KTMB menunjukkan 60 peratus penumpang KTM Komuter terdiri daripada kaum wanita dan selebihnya lelaki.

NONE Katanya jika keretapi komuter mempunyai tiga gerabak, satu gerabak akan diperuntukkan untuk mereka yang berkeluarga serta warga emas dalam usaha KTMB mewujudkan keselesaan penumpang serta meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Bagaimanapun sebelum melaksanakan cadangan tersebut, ia perlu diperincikan bagi mengelakkan sebarang isu lain yang akan timbul, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program “Customer Service Star Award 2009” dan program Ikhlas Dari Hati di sini hari ini.

Aminuddin berkata, langkah pengasingan gerabak ini telahpun dilaksanakan di Jepun dan beberapa negara di Eropah.

Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan komuter KTMB akan mendapat 38 set gerabak unit gandaan elektrik (EMU) yang baru dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatannya.

Beliau berkata KTMB juga akan membaiki 15 set EMU yang lama dan usaha ini diharapkan dapat mengatasi masalah keretapi lambat tiba serta isu perjalanan dibatalkan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan bila KTMB akan mendapat gerabak EMU baru itu, yang mampu meningkatkan jarak masa ketibaan antara satu komuter dengan satu komuter yang lain selama 7.5 minit.

Penambahan gerabak itu adalah untuk menampung pertambahan penumpang komuter yang dijangka meningkat kepada 300,000 penumpang setiap hari, katanya.

Mengenai program Ikhlas Daripada Hati itu ia merupakan program KTMB yang memberi penekanan kepada tiga nilai perkhidmatan cemerlang iaitu empati, mesra dan ikhlas (EMI) yang akan diamalkan oleh kakitangan KTMB bermula esok hingga 31 Mei ini dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan KTMB, katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh program itu, seluruh kakitangan KTMB akan memakai butang lencana “Ikhlas Daripada Hati” sebagai tanda komitmen dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada para pelanggan.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.