Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan berbincang dengan Kabinet mengenai persoalan tahap persekolahan bagi memulakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Katanya, ini kerana ada kalangan yang berpendapat penggunaan bahasa Inggeris seharusnya dimulakan di peringkat sekolah menengah.
Bercakap kepada pemberita selepas membuka satu persidangan mengenai percukaian di Seri Kembangan, Selangor, hari ini, beliau berkata: "Ada yang cadangkan supaya ia dimulakan di peringkat sekolah menengah, ada juga yang cadang dimulakan di Darjah Empat. Jadi kita masih timbang, kita belum buat keputusan.
"Memanglah saya kena bincang dengan Kabinet saya. Ini bukan persoalan untuk saya sahaja putuskan, Persoalan ini melibatkan Kementerian Pendidikan. Takkan saya nak ketepikan dia, saya kena tanya dia."
Agensi berita nasioal, Bernama , melaporkan Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri Cina (ACCCIM) dan tujuh pertubuhan utama kaum Cina semalam berhubung rancangan penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar Sains dan Matematik mulai tahun depan.
Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, nampaknya majoriti orang Melayu dan Cina, termasuk pakar bahasa, sudah menerima hakikat pentingnya bahasa Inggeris dan perlunya dipertingkat penguasaan bahasa itu.
Tiada rundingan
Menurutnya, walau apa pun keputusan yang akan dibuat, ia tidak akan menghalang kerajaan melengkapkan sekolah dengan komputer dan peralatan pendidikan lain yang diperlukan untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
Ditanya mengenai keputusan Jawatankuasa Pusat MCA pada 29 Ogos lalu yang tidak melantik semula timbalan presiden parti Datuk Lim Ah Lek sebagai pengerusi jawatankuasa disiplin parti itu, Dr Mahathir berkata:
"Oleh kerana Datuk Lim Ah Lek sendiri terlibat dengan masalah, tentulah tidak sesuai bagi dia menjadi pengerusi jawatankuasa disiplin parti."
Bagaimanapun, beliau berkata pada masa yang sama sepatutnya ada rundingan antara pihak-pihak berkenaan berhubung siapa yang patut berada dalam jawatankuasa itu.
"Tetapi banyak yang menuduh bahawa tidak ada rundingan. Saya tak tahulah, ini masalah MCA, saya tak campurtangan," katanya.
Buku teks
Sementara itu, Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Anwar Ridhwan, berkata buku teks untuk Matematik Tahun 1 dalam bahasa Inggeris terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan berada di pasaran mulai hujung tahun ini.
Menurutnya, manuskrip buku teks tersebut dijangka siap pada minggu ini untuk dinilai oleh Bahagian Buku Teks Kementerian Pendidikan.
Manuskrip itu, katanya, disediakan oleh sebuah panel yang dilantik oleh DBP selepas menerima sukatan baru daripada Bahagian Kurikulum Kementerian Pendidikan pada pertengahan Ogos lalu.
"Anggota panel terdiri daripada tiga orang. Mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan Sains dan Matematik dan amat mahir dalam kedua-dua bahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris)," katanya kepada wartawan selepas majlis pembukaan Pertemuan Penulis Ilmiah dengan DBP hari ini.
Menurut Dr Anwar, DBP telah berhenti menterjemah buku-buku teks Matematik dan Sains ke bahasa Inggeris sejak Kementerian Pendidikan menyediakan sukatan baru bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut.
