Kempen pemilihan barisan kepimpinan Puteri Umno semakin rancak apabila adanya usaha pihak-pihak yang bertanding yang dipercayai melancarkan "serangan" terhadap bekas exco pergerakan itu yang lebih dikenali sebagai "Enam Jahanam".

Sehubungan itu, tindakan sebuah akhbar harian milik Umno menyiarkan laporan-laporan yang mempertikaikan kredibiliti filem arahan Erma Fatima, yang juga salah ahli "Enam Jahaman", dipercayai ada kaitan dengan pemilihan pucuk pimpinan Puteri Umno.

Pengarah filem terkenal itu, ketika dihubungi malaysiakini , berkata adalah sesuatu di luar dugaannya apabila segala perkara mengenai filem terbaru arahannya, Embun, dijadikan isu walaupun penjelasan mengenainya telahpun dibuat.

Terbaru, Ketua Biro Penerangan Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Datuk Meswan Dol, meminta agar Kementerian Penerangan menyiasat perbelanjaan pembikinan filem tersebut kerana menjangkau RM3 juta yang dikatakan tidak sepadan dengan filem yang dihasilkan.

"Saya tidak menolak kemungkinan terdapat pihak-pihak tertentu dalam Puteri Umno yang menggunakan media untuk menghukum saya kerana dendam," kata Erma hari ini.

Kontroversi hangat

"Ingin saya jelaskan di sini, saya tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan dengan Puteri Umno dan tidak sama sekali ingin kembali ke dalam pergerakan tersebut menjelang pemilihan pimpinan Oktober ini. Cukuplah dengan apa yang sudah saya lalui," jelas Erma yang pernah menjadi exco selama enam bulan.

Baru-baru ini, filem arahan Erma menjadi kontroversi hangat apabila pelakon Izi Yahya dilaporkan dalam Utusan Malaysia sebagai berkata Erma telah menyuruhnya berbogel di dalam satu adegan rogol.

"Izi sendiri sudah membuat penjelasan yang panjang lebar mengenainya, tetapi saya tidak faham kenapakah perkara ini masih lagi mahu dijadikan isu.

"Tidak cukup dengan isu bogel itu, sekarang mereka mahu mengaitkan isu perbelanjaan pula. Sedangkan, sebagai pengarah filem, saya tidak tahu menahu mengenainya," katanya lagi.

Erma menjelaskan bahawa filem itu tidak lagi ditayangkan di pawagam dan segala publisiti tidak akan membantu menaikkan jualan tiket filem tersebut.

Bekas exco

Pengarah berbakat itu tidak menolak kemungkinan bahawa isu Embun telah dipolitikkan oleh pihak tertentu sebagai suatu "amaran" kepada sesiapa yang cuba menentang kepimpinan Puteri Umno di bawah ketua penajanya, Azalina Othman Said.

Sebelum ini, bekas ketua penerangan pergerakan itu, Mastina Alias telah melahirkan hasratnya untuk mencabar Azalina bagi jawatan tertinggi pergerakan itu.

Erma yakin bahawa segala tohmahan yang dilemparkan terhadapnya melalui filem Embun adalah kerana beliau merupakan salah seorang daripada enam bekas exco yang meninggalkan pergerakan itu akibat rasa tidak berpuas hati dengan kepimpinan Azalina.

"Mungkin mereka masih menganggap sayalah orangnya yang bertanggungjawab mendedahkan kisah Azalina dan Puteri Umno kepada akhbar tabloid Perdana Sari (yang diterbitkan oleh Khalid Jaffri)," jelas Erma lagi.

Sebelum ini, Erma dan bekas exco yang lain telah menerima pelbagai tohmahan melalui sebuah laman web, Selangordaily .

Sementara itu, seorang bekas exco Puteri Umno yang tidak mahu dikenali berkata, segala serangan terhadap Erma melalui filemnya itu membayangkan barisan kepimpinan sekarang bimbang akan penentangan oleh Mastina dan yang lain-lainnya.

Hubungan sulit

"Mereka sebenarnya mahu menunjukkan kepada kami bahawa mereka lebih berkuasa dalam politik Puteri Umno," katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau yakin sokongan akar umbi terhadap Mastina tetap teguh, walaupun tidak mendapat liputan media seperti kepimpinan yang ada.

"Kami yakin Mastina boleh membuatkan Azalina tidak lena tidur, walaupun turun sebagai 'underdog' bagi jawatan ketua pergerakan itu," katanya lagi.

Isu moral yang membabitkan Azalina tercetus April lalu apabila akhbar tabloid Perdana Sari mendakwa pemimpin Puteri Umno itu mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada seorang tokoh perniagaan terkenal.

Khalid yang pernah menulis buku "50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri" mendakwa Azalina menyalahgunakan RM300,000 dari tabung pergerakan itu untuk menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada kekasihnya.

Bagaimanapun, peguam berusia 38 tahun itu tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap dakwaan Khalid, sepertimana yang dilakukan oleh timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani penjara15 tahun selepas mahkamah mendapati beliau bersalah bagi kesalahan rasuah dan liwat.